Kempen cegah Covid-19 perlu lebih kreatif, interaktif - Utusan Malaysia

Kempen cegah Covid-19 perlu lebih kreatif, interaktif

KEMPEN yang kreatif, interaktif dan efektif dilihat cara terbaik dalam menyebarkan maklumat berkaitan Covid-19. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AMAT menggerunkan gelombang Covid-19 kali ini menyaksikan kadar pesakit positif dan kematian meningkat mendadak melebihi gelombang pertama dan kedua.

Laporan Kementerian Kesihatan terhadap kapasiti pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) semakin padat, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) meningkat dan statistik penghidap Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan kian mendesak.

Pelbagai kluster dikesan telah menyumbang kepada peningkatan drastik statistik kes positif Covid-19 antaranya tempat kerja, komuniti, rumah ibadat dan pendidikan.

Lebih konflik, gelombang ketiga ini tercetus sekitar minggu Hari Raya Aidilfitri yang memberi tekanan kepada rakyat dan akhirnya kerajaan bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Justeru, kerajaan disaran mempunyai pelan komunikasi strategik bagi mendepani penularan sebarang wabak termasuk Covid-19. Terdapat beberapa inisiatif dicadangkan bagi membentuk pelan komunikasi strategik tersebut.

Antaranya kekerapan sidang akhbar oleh menteri, kerjasama kerajaan bersama orang awam, atlet, selebriti dan pempengaruh media sosial untuk membentuk kandungan kempen yang kreatif, interaktif dan efektif.

Kandungan kempen tradisional dengan tema konvensional hanya mencacatkan keberkesanan kempen kesedaran sepanjang penularan pandemik ini.

Penularan wabak mencetuskan situasi panik, kerisauan dan kebimbangan masyarakat. Saluran maklumat yang terkini, pantas serta tepat tentang situasi semasa amat penting bagi mengawal gelombang ketiga Covid-19.

Justeru, jaringan komunikasi pintar bersama selebriti media sosial secara langsung akan meluaskan sebaran kempen kepada pengikut dan mencipta kandungan media yang lebih menarik perhatian pengguna terutama media sosial.

Oleh itu, pelan komunikasi strategik ini disaran untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sebagai model menghadapi sebarang bencana dan pandemik yang melanda negara.

Kunci kejayaan negara mendepani cabaran penularan Covid-19 adalah kaedah pengurusan maklumat yang strategik dan keberkesanan pemilihan media yang efektif merupakan asas pelan komunikasi strategik.

NAZRIN SHAH SAH ALLAM
Mahasiswa Fakulti Komunikasi Massa, UiTM Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya