Jangan terlalu mudah kerajaan batal BDR - Utusan Malaysia

Jangan terlalu mudah kerajaan batal BDR

MAJIKAN perlu memastikan pekerja patuh sepenuhnya kepada SOP mencegah pandemik Covid-19. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBENARNYA kerajaan telah banyak belajar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu. Angka-angka menunjukkan ramai tidak mampu bertahan lama jika dilaksanakan PKP sepenuhnya.

Ramai yang akan menganggur dan kehilangan punca pendapatan. Ini akan memberi impak cukup besar terhadap kewangan rakyat. Justeru, sektor ekonomi perlu berjalan seperti biasa.

Apabila sektor ekonomi terus berjalan, pemantauan ketat perlu dilakukan supaya kluster tempat kerja tidak lagi menjadi punca penularan wabak Covid-19.

Majikan perlu memastikan pekerja patuh sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak itu.

Kerajaan wajar mewajibkan dasar bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh jangka panjang dan tidak ditarik semula apabila kelihatan seolah-olah berlakunya penurunan angka pesakit Covid-19.

Keadaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mac lalu, mengumumkan semua majikan sektor swasta dibenarkan untuk mengarahkan kehadiran penuh melibatkan petugas bahagian pengurusan dan penyeliaan selain operasi serta sokongan berkuat kuasa 1 April.

Arahan 100 peratus untuk kedatangan ke tempat kerja itu sekali gus memansuhkan dasar BDR.

Bagaimanapun, berdasarkan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei lalu mengumumkan pelaksanaan semula dasar BDR.

Dalam pada itu, kerajaan juga wajar menyusun semula pemberian vaksin kepada rakyat secara bersasar.

Dahulukan mereka yang berisiko tinggi tanpa ada sebarang ketirisan. Selepas itu, baharulah diberikan kepada rakyat di bawah kategori lain.

Bagi meningkatkan jumlah rakyat yang menerima suntikan vaksin Covid-19, kempen secara besar-besaran perlu dilakukan melalui pelbagai medium dan media massa.

PROF. MADYA DR. ROHAMI SHAFIE
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya