Jangan susahkan golongan OKU - Utusan Malaysia

Jangan susahkan golongan OKU

OKU di Malaysia menghadapi pelbagai kesusahan akibat kerenah birokrasi jabatan kerajaan ketika pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, golongan orang kurang upaya (OKU) pula mengalami nasib sebaliknya.

Ini berikutan langkah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengehentikan secara tiba-tiba bayaran Elaun Pekerja Cacat (EPC) kepada warga OKU kerana mereka tidak mengisi Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan JKM (Borang 20).

EPC diberikan kepada pekerja OKU yang mampu bekerja supaya mereka memperoleh bantuan untuk menampung kos sara hidup.

Namun, sekiranya OKU yang menerima bantuan itu gagal mengemaskinikan maklumat mereka melalui Borang 20, bantuan bulanan yang dibayar kepada mereka akan ditamatkan kerana dianggap sebagai penerima bantuan ‘tidak sah’.

Memandangkan keadaan negara kita masih melaksanakan kawalan pergerakan untuk membendung wabak Covid-19, ramai dalam kalangan warga OKU mendapati mereka tidak dapat pergi ke pejabat JKM untuk mengemaskinikan maklumat.

Prosedur pembaharuan maklumat melalui pengisian borang secara manual di pejabat JKM menimbulkan kesukaran untuk warga OKU dan pesakit yang terbaring di atas katil.

Oleh itu, dicadangkan JKM memberi pilihan kepada warga OKU untuk mengisi borang tersebut secara dalam talian supaya kesulitan ini dapat dielakkan.

Tunggakan bayaran EPC yang tidak diterima oleh warga OKU sepanjang pemberhentian bayaran elaun itu hendaklah dibayar bagi meringankan beban hidup mereka.

Talian hotline perlu disediakan untuk OKU yang memerlukan bantuan daripada JKM.

PARTI SOSIALIS MALAYSIA (PSM)
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya