SAUDARA PENGARANG,
SAYA cukup gembira melihat kerajaan Malaysia dan rakyatnya telah menyatakan solidariti terhadap penduduk Palestin yang menghadapi keganasan tentera Israel walaupun kini telah dilaksanakan gencatan senjata.
Bagaimanapun, satu persoalan yang terlintas dalam fikiran saya, adakah kali ini kita benar-benar serius untuk menghukum Israel terutama dalam melaksanakan boikot ekonomi? Ia adalah senjata paling berkesan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan dagang secara rasmi dengan Israel tetapi produk antara kedua-dua negara saling diniagakan dengan menggunakan syarikat atau negara ketiga.
Sebab itu, pernah tular laporan sebuah akhbar di Israel yang mendakwa hubungan dagang negara itu dengan Malaysia mencecah nilai berbilion-bilion ringgit setahun.
Dikatakan mikrocip separuh siap yang dikilangkan di Israel akan dihantar ke Malaysia untuk diproses semula menjadi barangan siap.
Jika dakwaan itu benar, boikot ekonomi terhadap Israel hanya acah-acah sahaja. Jika serius, pastikan tidak wujud ketirisan dan tiada barangan kedua-dua negara didagangkan secara diam-diam dengan membuang logo Israel.
Saya juga mendapati banyak syarikat Israel telah membuka ibu pejabat di Singapura dan membuat pendaftaran seolah-olah syarikat berasal dari negara terbabit bagi memudahkan mereka berniaga di Asia Tenggara.
Oleh itu, berhati-hatilah ketika memilih rakan perniagaan dan membeli produk bagi mengelak kita secara tidak sengaja membantu memajukan ekonomi Israel.
RACHEL CORRIE
Putrajaya