SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada April lalu bahawa pemain boleh menyentuh pengadil perlawanan jika ia bukan bertujuan melakukan provokasi atau menyebabkan kecederaan.
Bagi saya kenyataan itu membuktikan FAM hanya memanjakan pemain daripada menjaga maruah dan keselamatan pengadilnya sendiri.
Pendirian itu akan membuka ruang kepada pemain melakukan hal-hal yang boleh mengancam keselamatan para pengadil di atas padang. FAM selepas ini terpaksa mengkategorikan jenis-jenis sentuhan yang bakal diterima pengadil.
Pengadil pula perlu arif kategori jenis sentuhan yang dibuat pemain dan mengambil kira pula jenis pemain sama ada pemain tempatan atau pemain import serta terpaksa pula mengetahui pasukan mana pemain yang bersalah itu wakili.
Lain pasukan, lain pula warna kad yang akan dikeluarkan. Tidak ada jaminan pada masa akan datang pemain berhati-hati atau tidak menyentuh pangadil.
Semua pihak terutama panel yang menjatuhkan hukuman perlu menghayati Undang-Undang 12 iaitu Kesalahan-kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan. Di dalamnya dengan jelas dihuraikan bentuk hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan termasuk sentuhan kepada pengadil.
Di situ tidak dinyatakan gred sentuhan dan peringkat hukuman. Waima kesalahan kepada rakan sepasukan, pegawai pasukan, pemain lawan serta pegawai perlawanan dinyatakan dengan jelas sebagai satu kesalahan berat iaitu berkelakuan ganas kerana pada ketika itu pesalah tidak lagi berpegang kepada fikiran waras. Niatnya tetap merujuk kepada kemarahan dan mengikut perasaan.
Sentuhan dikira sebagai ganas. Tiada kategori khusus tentang jenis sentuhan sebab setiap sentuhan yang dibuat adalah dengan niat provokasi dan melepaskan geram serta berfokus kepada keganasan.
Satu ketika dahulu ada pemain negeri dan kebangsaan yang menerima hukuman digantung khidmat mereka berbulan-bulan malah bertahun-tahun kerana bertindak sedemikian.
MADISYAK
Yan, Kedah