Elak campur tangan politik dalam pentadbiran PDRM - Utusan Malaysia

Elak campur tangan politik dalam pentadbiran PDRM

CAMPUR tangan politik dalam PDRM hanya akan menyebabkan orang ramai tidak mempercayai badan itu lagi. -UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADA baiknya juga pendedahan penjawat awam seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekiranya perkara ini tidak didedahkan oleh beliau, sudah pasti sehingga kini kita tidak sedar kepincangan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran awam yang selama ini dikawal umpama remote control.

Malah beliau menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri dicemari ‘unsur politik’. Ini kerana menurut beliau, seorang menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan.

Pihak yang berkuasa boleh menggunakan kuasanya dalam menentukan hala tuju sesuatu agensi tetapi perlulah secara limitasi dan menghormati keputusan yang dibuat oleh sesuatu agensi.

Bagi mereka yang bekerja di sektor awam pastinya memahami tentang pengaruh politik yang mendominasi pekerja mahupun ketua jabatan.

Atas dasarlah itulah saya bersetuju bahawa sesetengah lantikan politik dalam perkhidmatan awam hanya menjurus ke arah suara veto sahaja dan sepatutnya kuasa ini diberikan kepada orang luar yang bebas dan tidak terikat dengan sebarang kuasa politik.

Sikap campur tangan orang politik yang berlebihan dan keterlaluan khususnya dalam perkhidmatan awam menjadi satu budaya tidak sihat dan dalam jangka masa panjang boleh membawa kepada kronisme serta mengganggu dasar sesuatu agensi tersebut.

Kadangkala pelaksanaan sesuatu dasar dipengaruhi oleh cakap-cakap atau arahan politik yang akhirnya matlamat asal sesuatu projek itu berubah mengikut kehendak orang politik.

Natijahnya, banyak pembuat keputusan akan dipersoal dan kewibawaan ketua jabatan tidak lagi dipandang tinggi serta dihormati.

Maka, segala keputusan di peringkat bawahan tidak dapat dimuktamadkan apabila terdapat campur tangan orang politik yang mempunyai matlamat tersirat.

Oleh sebab itulah, apabila pekerja itu bersara, kedengaran banyak cerita yang tidak baik membabitkan sesuatu agensi kerajaan dan mereka sewaktu berkhidmat tidak berani bersuara kerana terikat dengan peraturan dan kuasa politik.

ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya