SAUDARA PENGARANG,
PADA ketika artikel ini ditulis, kita telah berada pada minggu terakhir Ramadan 1442 Hijrah yang menyaksikan umat Islam sekali lagi diuji dengan krisis pandemik Covid-19.
Sejarah Islam telah mencatatkan berlakunya penularan wabak seperti taun dan penyakit berjangkit lain.
Ilmuwan Islam, Ibn Qutaybah dalam teks kajiannya melaporkan antara wabak besar yang pernah melanda umat Islam ialah taun Amawas. Penyakit itu merupakan pandemik yang menular di Syam (sekarang Syria) pada zaman Khalifah Umar al-Khattab RA tahun ke 18 Hijrah.
Justeru, sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan untuk kita sentiasa berwaspada, menjaga diri dan keluarga dari sebarang bahaya dan mudarat.
Dalam pada kita menghadapi wabak ini, umat Islam telah kembali menemui satu bulan yang istimewa iaitu Ramadan.
Ramadan iaitu bulan umat Islam melaksanakan ibadah puasa ini mendidik diri kita supaya bersabar dalam menghadapi ujian yang menimpa.
Bagi pesakit Covid-19 yang disahkan positif dan kontak mereka, jawatankuasa fatwa di beberapa negeri telah memutuskan ujian calitan yang dijalankan tidak membatalkan puasa.
Mengambil sampel mukus di dalam rongga hidung atau belakang anak tekak melalui mulut merupakan dua jenis kaedah saringan yang digunakan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti sama ada individu itu positif Covid-19 atau tidak.
Antara alasan ujian calitan tidak membatalkan puasa kerana ia tidak menyamai makna makan atau minum sebenar yang menjadi sebab membatalkan puasa.
Begitu juga dengan suntikan vaksin yang tidak membatalkan puasa seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan sejak Januari 2021. Ini selari dengan pandangan Mufti Besar Arab Saudi dan turut disepakati oleh ulama seluruh dunia.
SURINA MOHAMAD SHAFI
Hospital Pakar Al-Islam, Kg. Baru, Kuala Lumpur