SAUDARA PENGARANG,
WUJUD keperluan untuk membina satu lagi lebuh raya baharu melintasi bahagian selatan Banjaran Titiwangsa yang menghubungkan Kajang, Selangor ke Simpang Pelangai, Pahang.
Laluan baharu melintasi utara Negeri Sembilan dapat mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK) dan Lebuh Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) yang menghubungkan negeri-negeri pantai barat dan pantai timur.
Anggaran jarak pembinaan lebuh raya itu lebih kurang 100 kilometer (km) dan ia boleh dilakukan secara terkawal tanpa mengabaikan kepentingan pemeliharaan Hutan Kekal Banjaran Titiwangsa, kawasan tadahan air serta alam sekitar.
Pembinaan lebuh raya itu boleh dijadikan laluan alternatif dari sebahagian negeri di pantai barat menuju ke pantai timur, sementara menunggu laluan Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Gua Musang ke Lipis-Raub- Bentong melalui Lebuhraya KLK terus ke Simpang Pelangai siap secara berperingkat dari 2024 hingga 2027.
Sekiranya dibina lebuh raya baharu, maka sebahagian besar kenderaan dari pantai timur ke Kuala Lumpur dan dari bahagian selatan Lembah Klang boleh menggunakan laluan ini sebagai pilihan kedua untuk ke pantai timur.
Di samping itu adalah lebih baik sekiranya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) merancang supaya laluan baharu ini di sambung hingga ke Simpang Pertang atau Air Itam di Negeri Sembilan dan ke bandar Muadzam Shah di Pahang.
Ia akan menjadikan jaringan lebuh raya di sana lebih menyeluruh. Ini kerana jika di sambung hingga ke Muadzam Shah, ia akan ‘bercantum’ dengan Lebuh Raya Kuantan-Segamat yang sedang dinaik taraf kepada empat lorong.
Dengan adanya laluan alternatif ini juga dapat membendung monopoli oleh satu syarikat sahaja yang sedikit sebanyak boleh mengurangkan isu perkhidmatan kurang memuaskan.
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur