SAUDARA PENGARANG,
MENGAMALKAN sinergi pekerjaan-kehidupan adalah sangat penting untuk mencapai gaya hidup yang sihat dan berkualiti. Ia harus dilihat di dalam konteks meningkatkan tanggungjawab dari sehari ke sehari kerana masih ramai yang berusaha untuk mengimbangi antara kehidupan berkeluarga dan profesional.
Beberapa cabaran dihadapi apabila banyak syarikat dan institusi yang mengamalkan polisi bekerja dari rumah bagi mengekang risiko jangkitan Covid-19. Ini termasuk tekanan dalam pengagihan masa selain boleh mengurangkan produktiviti apabila garis batas antara pekerjaan dan kehidupan menjadi semakin pudar.
Sesetengah pekerja berusaha untuk melawan situasi tersebut dengan menjadi lebih produktif atau berdisiplin.Bagaimanapun, pengurusan lemah bagi sesuatu sinergi boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif yang boleh menjejaskan orang ramai secara fizikal dan mental.
Antara contoh implikasi negatif adalah tekanan, hilang daya dan tenaga, perkahwinan yang tidak bahagia serta isu-isu kesihatan mental lain. Oleh itu, penting bagi kita untuk mengamalkan cara hidup sihat supaya lebih fokus dan efektif.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu mereka mengimbangi pengurusan sinergi pekerjaan-kehidupan:
* Mengatur dan mencatat semua kerja yang perlu dilakukan dan diselesaikan.
* Memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang dicatat bergantung kepada kepentingan dan kesukaran sesuatu kerja tersebut sekali gus membantu dari segi aspek peribadi dan juga profesional secara efisien.
* Menganalisis halangan atau cabaran dan belajar daripada keputusan lemah yang dibuat sebelum ini.
* Mengenal pasti sistem sokongan di sekeliling seperti keluarga, rakan-rakan dan sumber yang tersedia.
* Mengamalkan pengurusan masa yang sistematik untuk mencapai matlamat.
* Memastikan keadaan diri sihat secara fizikal dan juga mental.
* Menyucikan jiwa dengan beribadah ataupun bermeditasi.
DR. MASZUWITA ABDUL WAHAB & SHARIFFULLAH ABDUL MAJEED
Kuala Lumpur