SAUDARA PENGARANG,
NEGARA dilihat goyah dan tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu sejak 2018 sehingga hari ini.
Ketidakstabilan ini dijangkakan berterusan, malah walaupun selepas PRU-15, negara masih tidak akan mencapai kestabilan politik. Siapakah yang patut dipersalahkan? Mungkin jawapannya adalah pemimpin-pemimpin politik yang memegang jawatan penting.
Rata-rata rakyat memahami bahawasanya ketidakstabilan politik ditimbulkan oleh pemimpin politik sendiri sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Sukar untuk menguruskan sesebuah negara seperti yang dikehendaki apabila perkara ini berlaku. Pelabur sedia ada akan lari dan tiada pelaburan baharu sementara ekonomi akan jatuh merudum. Malah, tiada peluang pekerjaan, rakyat susah dan hidup merempat. Apakah pemimpin-pemimpin sedia ada tidak memikirkan perkara ini?
Diharap pemimpin-pemimpin negara tepuk dada tanya selera dan cuba berfikir untuk melakukan sesuatu demi kestabilan politik dan ekonomi negara, di samping memastikan rakyat tidak terkesan dengan pergolakan atau konflik politik yang dicetuskan oleh ahli-ahli politik.
Semoga bumi Malaysia kembali aman, makmur dan sejahtera.
RAKYAT PRIHATIN
Kuala Lumpur