SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini bahawa mereka yang dikompaun maksimum RM10,000 gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 akan diberi tawaran diskaun 50 peratus jika dibayar dalam masa seminggu.
Jika lebih seminggu hingga 14 hari, pesalah menikmati pengurangan cuma 25 peratus dan kalau lebih dua minggu, maka kena bayar kompaun mengikut kadar penuh.
Saya kurang pasti akan logik di sebalik kompaun RM10,000 yang dikenakan, boleh dikurangkan 50 peratus kalau pembayaran dibuat dalam masa seminggu.
Kalau begini, perlukah dikompaun RM10,000 dari mula lagi? Lebih baik kenakan kompaun yang jumlahnya dapat diterima akal.
Kedua, kalau ditolak 50 peratus, jumlah kompaun adalah RM5,000. Ia masih satu jumlah yang besar bagi golongan yang berpendapatan rendah (B40).
Ketiga, untuk golongan B40, rayuan boleh dibuat dengan melampirkan dokumen sokongan. Bukankah ini menyusahkan? Apa itu dokumen sokongan sebenarnya tidak pula dijelaskan oleh kerajaan?
Kesimpulannya, kompaun masih tinggi setelah ditolak 50 peratus dan ia menyusahkan dan membebankan. Carilah satu cara atau penyelesaian yang mudah dan tidak menyusahkan rakyat.
KENNETH CHEW
Pulau Pinang