SAUDARA PENGARANG,
PEMAIN perseorangan lelaki negara yang menjadi juara kejohanan All England, Lee Zii Jia mungkin pengganti terbaik Datuk Lee Chong Wei yang mengharumkan nama negara dalam sukan badminton sejak sedekad yang lalu.
Teknik backhand smash (pukulan kilas) yang diguna Zii Jia juga dilihat seakan-akan pemain legenda Indonesia, Taufik Hidayat yang dilihat sering kali mengelirukan lawan di gelanggang. Malah aksi beliau dalam mengambil bola tanggung juga seperti bayangan juara Olimpik sebanyak dua kali dari China, Lin Dan.
Jika Zii Jia dapat mengekalkan momentum dan prestasinya, saya yakin beliau akan merangkul lebih banyak kejohanan utama dunia.
Saya memerhatikan perkembangan badminton Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu. Jika dahulu, kita terlampau bergantung kepada Chong Wei sehingga tiada pemain pelapis yang ditonjolkan. Saya mengharapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus mengeluarkan pemain pelapis negara seiring dengan Zii Jia.
Kita mungkin boleh belajar dari kesilapan lalu apabila terlampau fokus pada satu pemain sahaja sehingga akhirnya Malaysia ketandusan pemain pelapis. Jika kita lihat,
China sering menghantar lebih daripada seorang pemain untuk bertanding di kejohanan badminton dunia supaya pemain utama mereka tidak terbeban dari sudut psikologi.
Persaingan mereka menjadi lebih sihat kerana bukan sahaja perlu mengalahkan pemain negara lain malah harus bersaing dengan pemain negara mereka sendiri.
Benar, untuk menghasilkan seorang pemain bertaraf dunia bukan satu perkara mudah. Namun, usaha mencari pemain pelapis itu tidak perlu berhenti hanya kerana kita berjaya menemui ‘permata’ baharu.
YUSLAINI AZMI
Ketua Wanita Muda AMK Terengganu