SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba supaya rentas negeri untuk balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini ditangguhkan mengundang perasaan suram dan geram banyak pihak.
Tidak menuding kepada sesiapa, waima pegawai dan staf di Kementerian Kesihatan sendiri pun tentu kecewa jika kerajaan tidak benarkan kita pulang beraya di kampung.
Walaupun baru di peringkat cadangan pakar dan belum diputuskan, kebarangkalian syor itu disokong Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri adalah tinggi berdasarkan kepada situasi jangkitan semasa.
Sekiranya larangan tersebut menjadi kenyataan, maka tahun ini adalah kali kedua umat Islam tidak dapat pulang ke kampung.
Ia pasti mengundang duka lara berpanjangan di hati sanubari rakyat.Walau apa pun emosi yang melanda diri, rakyat tiada pilihan lain melainkan akur dan patuh terhadap keputusan dibuat.
Dalam keadaan penuh kecewa dan sedikit marah, kita tidak wajar bertindak menggunakan emosi dan menampakkan kekurangan kecerdikan berfikir.
Azab dan bencana lebih besar akan menimpa kita sekiranya masing-masing cuba untuk melayan perasaan dan melanggar arahan yang ditetapkan dalam apa jua cara sekalipun.
Jangan menjadi penduduk yang pelik dan dungu. Mahu sektor ekonomi rancak kembali dan jumlah kes positif Covid-19 mendatar, tetapi pada masa sama kita sendiri tidak mahu akur kepada arahan ditetapkan.
Jika kenangkan kampung halaman, apa salahnya kita mengunakan kemudahan sidang video untuk berhubung dengan sanak saudara yang berada di kampung?
Sedarlah, menjaga penjarakan fizikal adalah keadaan sebenar norma baharu kita pada waktu ini. Ia mungkin berlarutan sehingga tiga atau empat tahun lagi sekiranya masing-masing masih berdegil untuk mematuhi arahan.
Pesan saya, baik berhari raya di kawasan rumah masing-masing asalkan tidak melebihi radius yang ditetapkan prosedur operasi standard MKN.
IR. ZANARI ALIAS
Kuala Lumpur