PKP tingkat penguasaan ICT pelajar, komuniti - Utusan Malaysia

PKP tingkat penguasaan ICT pelajar, komuniti

PEMBELIAN tanpa tunai juga menjadi norma baharu menjelang beberapa tahun akan datang. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANYAK transformasi dalam norma baharu dapat dilihat ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam konteks pendidikan, pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara konvensional mula berubah.

Kuliah terpaksa dilakukan secara dalam talian sepenuhnya. Pelbagai platform pembelajaran secara dalam talian diperkenalkan.

Konsep blended learning lebih digalakkan untuk memastikan proses pembelajaran lebih interaktif.

Secara tidak langsung ia meningkatkan penguasaan dan kemahiran pelajar serta pensyarah terhadap aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pelaksanaan program kokurikulum dan mobiliti akademik yang memerlukan pertemuan fizikal antara pelajar dan komuniti turut dilakukan secara dalam talian.

Berinteraksi dari lokasi berbeza secara maya mungkin tidak mendatangkan masalah besar bagi pelajar.

Namun, ia menjadi fenomena baharu dalam kalangan komuniti apatah lagi jika melibatkan warga emas di kawasan pinggir bandar.

Banyak kekangan terpaksa dihadapi seperti kebolehcapaian jaringan internet dan pengetahuan menggunakan aplikasi ICT semasa program dijalankan.

Biarpun nampak sulit, namun bukan mustahil untuk melaksanakan program pemindahan pengetahuan antara pelajar dan komuniti secara maya.

Pelaksanaan ini memberi peluang baharu kepada komuniti mempelajari dan menguasai penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi biarpun hanya di peringkat asas.

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menyebabkan ibu bapa terpaksa terlibat dalam sesi pembelajaran.

Sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah, di bandar mahu pun luar bandar ibu bapa terpaksa mengambil tahu selok-belok penggunaan ICT.

Pelaksanaan pada peringkat awal mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kerana tidak semua ibu bapa menguasai kemahiran menggunakan aplikasi ICT dengan baik.

Dalam pada itu, penguatkuasaan PKP turut memberi wajah baharu dalam sektor ekonomi. Pengguna dilihat agak selesa membuat pembelian secara dalam talian biarpun masih ramai memilih premis fizikal untuk membeli barang.

Untungnya, membeli secara dalam talian boleh dibuat tanpa mengira masa dan lokasi asalkan barang yang dikehendaki dapat dimiliki, sekali gus dilihat sebagai salah satu indikator masyarakat kita semakin menguasai kemahiran ICT.

Kemunculan peniaga dalam talian juga semakin bertambah semenjak PKP dilaksanakan. Rata-rata peniaga menjadikan media sosial dan aplikasi ICT sebagai medium menjana pendapatan.

Tanpa mengira latar belakang etnik mahu pun peringkat usia, malah ada juga golongan tua yang menjalankan perniagaan melalui medium itu.

Pelaksanaan PKP turut menjadikan hubungan dengan masyarakat bertambah erat. Masyarakat bebas berkomunikasi dan memberi pendapat walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Tidak kurang yang bertemu kenalan lama dalam media sosial sepanjang tempoh PKP. Nilai kreativiti masyarakat juga terserlah apabila wujud pelbagai platform untuk berbincang, mengimbau kenangan lama, berkongsi resipi dan hobi mahupun mengikuti sesi perkongsian pengetahuan dalam media sosial.

Ringkasnya, sejak pelaksanaan PKP 1.0, ia telah berjaya menghasilkan landskap baharu dalam peningkatan penguasaan komuniti terhadap ICT.

Mudah-mudahan landskap baharu ini dapat membantu merealisasikan matlamat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

PROF. MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum & Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya