SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai ekoran diberi kebenaran beroperasi dengan pelbagai peraturan yang harus dipatuhi.
Sektor ini kembali hidup selepas hampir setahun bergerak dalam keadaan sukar sehingga ada yang terpaksa memberhentikan operasi. Pengusaha bas, teksi, bas pesiaran dan pengangkutan lain turut terkesan.
Ketika ini, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan tetapi secara berkumpulan dan mematuhi peraturan ketat.
Kelonggaran ini memperlihatkan kerajaan berusaha memulihkan ekonomi dan membuka semula peluang pekerjaan.
Risikonya tetap ada kerana kita tidak tahu sejarah perjalanan setiap pengunjung di sesuatu kawasan pelancongan.
Dalam pada itu, kebenaran pulang ke kampung halaman perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Walaupun ini tidak berkait rapat dengan ekonomi tetapi dari segi institusi kekeluargaan, ia amat penting.
Sekiranya pulang dan berkumpul bersama keluarga, bilangannya tidak sebanyak jumlah pengunjung di sesuatu kawasan pelancongan.
Untuk membenarkan rentas negeri, sudah tentu Kementerian Kesihatan mesti memastikan jumlah kes menurun ke tahap yang paling rendah.
Kita tidak mahu berlaku seperti di Kelantan yang beberapa bulan lalu pernah berstatus hijau tetapi kembali menjadi merah selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.
M. JASNI MAJED
Kuala Lumpur