SAUDARA PENGARANG,
KONSEP siyasah (politik) Islam menyatakan, apabila politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipan memilih pemimpin juga adalah sebahagian daripadanya.
Bekas pemerintah Perancis, Napoleon Bonaparte pernah menyebut, rosaknya dunia bukanlah semata-mata kerana perbuatan orang yang zalim tetapi kerana membisunya orang yang baik.
Memilih pemimpin dalam kalangan mereka yang kuat prinsip agama adalah penting supaya politik Islam boleh didahului dengan asas dakwah.
Justeru, mereka yang sempurna keperibadiannya harus diberikan tanggungjawab kerana mereka akan mengawal selia tadbir urus negara.
Kepentingan memilih pemimpin juga untuk menghapuskan (atau meminimumkan) budaya kapitalis yang semakin rakus. Hakikatnya, di negara ini wujud pemimpin yang menikmati keselesaan daripada hasil kesusahan orang lain.
Keadaan politik negara semakin tenat. Perkauman diapi-apikan, ekonomi mundur ke belakang, masalah sosial kian melarat, malah wujud banyak ‘perniagaan’ kotor yang menguntungkan sesetengah pihak.
Pemimpin yang taksub terhadap parti politik akan gagal mengatasi masalah sosial dan ekonomi rakyat berbanding pemimpin yang tekun bekerja.
Politik hanyalah alat. Meskipun ia digunakan untuk mencapai matlamat, namun jangan sampai menggadai prinsip dan jangan sampai tertipu dengan nafsu yang tamak kuasa.
Apabila seseorang pemimpin itu zalim, tanpa sedar kita sebenarnya berhadapan dengan dua isu serius sekali gus iaitu pemerintah zalim dan sistem yang mendukung penzalim tersebut.
Majalah Islamica pada 2004 merekodkan satu kisah Sheikh Abdul Rahman Al-Shaghouri pernah membeli epal di sebuah gerai di pasar dan beliau memilih buah yang sudah buruk dengan tujuan menyelamatkan peniaga itu daripada terpaksa membuangnya.
Renungilah bagaimana ulama mampu mengorbankan kepentingan dirinya demi menjaga kepentingan orang lain. Justeru, pemimpin Melayu-Islam pada hari ini perlu meneladani sifat sedemikian dalam konteks memerintah negara. Mengorbankan kepentingan kecil demi kepentingan yang lebih besar.
Malah dalam konteks siyasah Islamiyah, tanggungjawab hakiki kita bukanlah dengan mengundi atau menyertai parti politik semata-mata sebaliknya memberikan amanah kepada yang berhak.
Memimpin sebuah negara nyata sekali bukan perkara mudah, tidak pernah ia menjadi mudah dan tidak boleh diambil mudah.
SOFIYA TAMIZI
Exco Pendidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)