SAUDARA PENGARANG,
IDEALISME ialah sebuah cita-cita yang lahir daripada pemikiran seseorang hasil menerusi akal yang ligat berfikir tentang sesuatu perkara.
Kalau disebut tentang mahasiswa, itu adalah zaman penuh idealisme ketika mana darah muda masih membara.
Pensyarah saya pernah mengatakan, zaman mahasiswa adalah zaman yang tidak akan dirasai kenikmatan waktu muda jika tidak dipenuhi dengan idea.
Ini kerana idealisme itu sendiri merupakan kayu ukur awal kematangan bagi seseorang mahasiswa.
Mengapa saya katakan kayu ukur awal? Kerana terdapat juga idealisme mahasiswa yang bersifat idealistik semata-mata, namun tidak realistik.
Maka ia bukan satu ukuran kematangan pemikiran mahasiswa secara menyeluruh, namun kita tidak boleh menafikan sisi baik idea mereka ini.
Sekurang-kurangnya mereka menyatakan satu idea yang berusaha menyelesaikan sesuatu masalah berbanding mereka yang hanya tahu mengkritik semata mata, namun tidak mendatangkan idea solusi.
Bagaimana seorang mahasiswa mahu melahirkan sebuah idealisme yang matang? Ia perlukan kepada fundamental atau asas kepada idea itu sendiri iaitu ilmu dan maklumat tentang sesuatu perkara.
Bagaimana mungkin seseorang boleh menyatakan ideanya tanpa mengetahui dan mengenali secara asas tentang sesuatu perkara yang sedang dibincangkannya?
Jika seseorang mahu memberikan idea bagaimana mahu tangani isu antivaksin Covid-19, dia perlu tahu asas berlakunya masalah tersebut. Mengapa wujud golongan antivaksin?
Mungkin dengan mengeluarkan persoalan-persoalan sebegini, sedikit sebanyak dapat membantu seseorang berfikir dengan baik dan betul yang akhirnya menatijahkan sebuah idealisme matang bagi memberikan solusi kepada sesuatu masalah yang timbul.
Kesempurnaan kepada sebuah idealisme yang matang adalah pengalaman. Mahasiswa perlu menimba pengalaman yang banyak melalui jalan aktivisme.
Tanpa jalan aktivisme maka kita khuatir idealisme mahasiswa yang terbit itu tidak dapat menjadikan ia sebuah idea bersifat secara komprehensif.
MUHAMAD HANNAN MOHD. HANIFF
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)