SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada tulisan Omar Lolo bertajuk ‘PRU-15: Kembalikan kuasa politik Melayu, Islam’ yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 3 April lalu.
Saya amat tidak bersetuju dengan pendapatnya bahawa ahli UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seolah-olah memutuskan silaturahim sesama Islam.
Ahli UMNO melihat dia sebagai penulis yang begitu jelas memiliki sikap tegar anti-UMNO dan pada masa sama pro-Bersatu dan pro-Pas.
Perikatan Nasional (PN) hanya memiliki 24 ahli Parlimen yang sah setelah ditolak wakil rakyat UMNO iaitu enam orang dari Bersatu dan 18 wakil rakyat Pas.
Sebenarnya yang telah memutuskan silaturahim ialah ahli Parlimen dari parti lain yang menyertai Bersatu selepas itu.
Asalnya UMNO memiliki 54 ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara sah tetapi 15 orang telah berpaling tadah meninggalkan parti dan memutuskan silaturahim serta persahabatan sesama Islam.
Begitu juga 12 ahli Parlimen PKR yang telah melompat macam katak bagi menyertai Bersatu.
UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR wajar berganding bahu membawa usul mengikut Perkara 53, Fasal (1), Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan wakil rakyat telah kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana melompat parti.
MELAYU MALAYSIA
Kuala Lumpur