SAUDARA PENGARANG,
MENURUT Kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan perwira merujuk kepada seseorang yang gagah dan berani.
Ungkapan itu selalunya digunakan bagi memanggil anggota tentera bertaraf pegawai yang mempunyai kuasa pentadbiran dan pengurusan.
Berikutan perubahan zaman, saya berpendapat perkataan itu tidak seharusnya diguna secara eksklusif kepada anggota tentera yang sebahagian besar tidak pernah teruji di medan pertempuran sebenar.
Saya berpendapat pemandu kereta di Lembah Klang wajar diiktiraf dan dirujuk sebagai ‘perwira’ juga. Ini kerana mereka cukup berani memandu ketika penunggang motosikal bergerak laju umpama peluru yang ditembak mencelah di kiri dan kanan kereta terutama pada waktu pagi ketika para pekerja sibuk untuk ke pejabat.
Saya cukup bersimpati melihat pemandu yang mahu menukar lorong kerana walaupun sudah lama memberi lampu isyarat, belum tentu akan diberi peluang oleh penunggang motosikal. Kalau takut dan teragak-agak untuk menukar lorong, sudah pasti akan kena hon.
Saya juga pernah terbaca kenyataan seorang diplomat asing di Malaysia beberapa tahun lalu, bahawa yang paling ditakutinya ketika memandu di negara ini adalah sikap penunggang motosikal yang membawa kenderaan itu secara laju dan melulu.
Katanya, fenomena itu tidak berlaku di negara lain dan beliau menyifatkan pemandu kereta di Malaysia yang berhadapan dengan penunggang motosikal setiap hari sebagai sangat berani.
Oleh itu, keberanian pemandu kereta terbabit melayakkan mereka digelar sebagai ‘perwira’.
PEMANDU VIVA
Rawang, Selangor