SAUDARA PENGARANG,
APAKAH yang sebenarnya mempengaruhi kita dalam menyebut cita-cita semasa kecil? Mari kita sama-sama menghayati cerita kartun, Upin & Ipin dalam satu siri bertajuk Bila Besar Nanti.
Sebagai contoh Mei Mei, dengan senang menyatakan ingin menjadi seorang cikgu. Cikgu adalah cita-cita yang murni bagi mengajar kanak-kanak menjadi pandai.
Kak Ros, ingin menjadi seorang doktor, Jarjit bercita-cita menjadi wartawan dan Ehsan ingin menjadi tukang masak yang terkenal. Upin dan Ipin pula masing-masing ingin menjadi jurutera dan angkasawan. Cita-cita Upin dan Ipin memang mengagumkan.
Tetapi paling dikagumi adalah cita-cita Fizi. Siapa sangka, semua orang memilih cita-cita yang tinggi dan dikenali ramai, tetapi Fizi memilih untuk menjadi seorang pengutip sampah.
Ini cita-cita yang melambangkan pemahaman yang tinggi oleh Fizi mengenai kepentingan menjaga kebersihan sekeliling. Jika difikirkan secara logik, ada benar dan bagusnya cita-cita Fizi kerana kalau semua memilih cita-cita yang tinggi nilainya, bagaimana pula dengan cita-cita kecil.
Sememangnya Fizi patut dikagumi. Tetapi sanggupkah kita menyatakan cita-cita seperti Fizi?
Tepuk dada dan tanya selera. Memang tidak salah kita memilih cita-cita tinggi sebab telah menghabiskan masa bertahun-tahun di sekolah dan universiti bagi mendapatkan kelayakan yang bersesuaian dengan cita-cita yang diidamkan.
Sebagai contoh, jika kita ingin menjaga kebersihan alam sekitar, tidak semestinya kita bercita-cita seperti Fizi, tetapi boleh bercita-cita menjadi seorang pengurus alam sekitar di pejabat kerajaan atau bercita-cita untuk membuka tempat pembuangan sampah yang canggih yang kita akan menjadi bos.
Jadikan cita-cita kita semua sebagai cerita dalam kehidupan kita untuk disembangkan dengan generasi akan datang.
DR. KARTINA ALAUDDIN
Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak