SAUDARA PENGARANG,
UMUM maklum bahawa agenda perpaduan ummah dikongsi oleh tiga parti berteraskan Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Begitupun, disebabkan krisis berterusan antara UMNO dan Bersatu, parti utama orang Melayu itu akhirnya membuat keputusan menamatkan sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Keputusan UMNO itu menyebabkan ia diserang dari segenap sudut oleh pihak luar, kerana kononnya mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan agenda perpaduan ummah/Melayu.
Tuduhan yang dilempar itu terlalu simplistik dan semberono yang dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami realiti sebenar di lapangan dan hanya berhujah secara dangkal. Sewajarnya, berlaku adillah dalam mengkritik agar masalah sebenar dapat diatasi secara tuntas.
Seandainya benar agenda penyatuan ummah dikongsi bersama, sewajarnya ia dipikul bersama antara semua pemegang taruh dalam pasukan. Sebaliknya, realiti yang dilihat kini adalah seolah-olah ia hanya dibeban di bahu UMNO semata-mata.
UMNO diminta mengalah, berjiwa besar dan tidak angkuh demi mengekalkan kepimpinan utama Bersatu di puncak kuasa, walaupun parti baharu itu hanya menyumbang bilangan kerusi kecil dalam pembentukan kerajaan PN.
UMNO diminta reda dengan segala tindakan sabotaj rakan sepasukan sendiri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah demi mengekalkan kekuatan politik Melayu.
Selain itu, hujah kononnya era sebuah parti utama mendominasi politik/pilihan raya umum (PRU) telah tamat juga diulang-ulang bagi melemahkan psikologi UMNO dan penyokongnya. Ya, UMNO diminta bersabar dan terus bersabar dengan segala pengkhianatan dan tikam belakang oleh rakan sendiri!
Seandainya benar Bersatu ikhlas dan begitu teruja dengan agenda penyatuan ummah/Melayu, parti itu sewajarnya perlu sanggup berkorban apa sahaja asalkan mampu menjayakan agenda tersebut.
Mengapa tidak Bersatu sahaja yang mengalah dengan memberikan jawatan utama kerajaan kepada wakil UMNO sesuai dengan semangat demokrasi yang diamalkan di Malaysia selama ini?
Tidakkah tindakan sebegini mampu menyelamatkan agenda penyatuan itu? Perubahan kepimpinan kerajaan PN dengan memberi jawatan utama kepada UMNO tidak akan meruntuhkan kerajaan dan sekali gus agenda penyatuan ummah/Melayu itu akan terus terbela.
Soalnya kini, mengapa tuntutan untuk beralah, bersabar dan berjiwa besar itu hanya tertumpu kepada UMNO sahaja, tetapi tidak Bersatu juga?
UMNO sebetulnya tidak menuntut lebih daripada yang sepatutnya. Sesuai dengan sumbangan kerusi yang diberikan, faedah yang setara itu jugalah yang diminta. Ia bukan perkara pelik atau sesuatu yang tidak munasabah dilakukan oleh mana-mana parti dalam sistem demokrasi dunia pun.
Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sewajarnya menjadi pedoman kepada kita bahawa formula parti kecil memimpin kerajaan yang cuba dibawa Bersatu itu sebenarnya silap dan gagal!
ALCMAEON AENEAS
Bangsar, Kuala Lumpur