SAUDARA PENGARANG,
PADA 22 Mac lalu, tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sekali lagi menjadi tajuk utama berita dengan kejadian kren gantri terjatuh meragut tiga nyawa pekerja pembinaan dan menyebabkan seorang pengguna jalan raya cedera parah.
Ini adalah kejadian kemalangan ketiga melibatkan tapak pembinaan SUKE dalam tempoh enam bulan lalu.
Sebenarnya terdapat banyak lagi kontroversi melibatkan projek pembinaan SUKE yang bermula pada 2016.
Ia bukan sahaja memotong kawasan Hutan Bukit Sungai Putih, Ampang, Selangor, malah menimbulkan bantahan daripada ramai penghuni di kawasan perumahan yang dilaluinya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi semakin jelas bahawa pihak kontraktor pembinaan SUKE begitu cuai dalam mengambil langkah-langkah keselamatan.
Kontraktor utama dan subkontraktor SUKE hanya dikenakan denda sebanyak RM180,000 selepas kejadian sebuah kepingan konkrit terjatuh dan menghempap sebuah kereta pada 2020.
Nasib baik pemandu itu terselamat tetapi dia mengalami kecederaan pada lengan kirinya.
Denda yang dikenakan itu jelas tidak cukup untuk mengelakkan kejadian sebegini daripada berlaku lagi.
Oleh itu, kerajaan perlu serius untuk mengawal selia syarikat pembinaan dengan lebih ketat.
Denda yang dikenakan ke atas syarikat pembinaan yang mengancam nyawa pekerja dan pengguna jalan raya perlu lebih tinggi jumlahnya.
Tindakan sedia ada mengeluarkan arahan berhenti kerja untuk membolehkan siasatan dijalankan perlu dikekalkan.
Pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan akibat projek SUKE perlu memberi pampasan kepada mangsa atau keluarga dan membuat permohonan maaf secara terbuka kerana gagal memastikan keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga harus memperkenalkan garis panduan keselamatan yang lebih ketat untuk operasi pembinaan termasuk memberi amaran kepada kontraktor supaya tidak mengulangi kecuaian.
A. GEETHA
Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM)