SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI semua orang sedia maklum, waktu bekerja pada hari Jumaat amat singkat kerana terdapat pelepasan khas untuk pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat.
Hal ini menjadi kekangan kepada orang ramai untuk berurusan sama ada di sektor kerajaan atau swasta.
Malah, wujud kemungkinan pekerja tidak sempat untuk menikmati makan tengah hari kerana tempoh pelepasan tidak terlalu panjang.
Justeru, kerajaan Selangor disaran untuk mengubah cuti hujung minggu ke Jumaat dan Sabtu seperti yang dilakukan di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu. Ini kerana bercuti pada Ahad tidak mendatangkan faedah kepada umat Islam.
Mengikut sejarah Tanah Melayu semasa ditadbir British, cuti hujung minggu diberikan pada Ahad ekoran penganut Kristian akan ke gereja untuk beribadat pada hari tersebut.
Seharusnya selepas Tanah Melayu diberi kemerdekaan oleh British, hari cuti mingguan untuk umat Islam ditukar kembali kepada hari Jumaat.
Cadangan ini membolehkan pekerja beragama Islam tidak tergesa-gesa bersiap sebelum ke masjid, malah cuti pada Jumaat dilihat boleh mengurangkan salah faham majikan bukan Islam apabila pekerja mereka kembali bekerja tidak mengikut waktu ditetapkan, jika solat Jumaat habis lewat.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar pernah mencadangkan perkara sama semasa sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 2018, namun mendapat tentangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui.
Yu Hui berpendapat, Pahang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati, selain menyuarakan kerisauan jika cuti hujung minggu ditukar akan memberi kesan kepada kemasukan pelabur.
Bagi saya, kerajaan Selangor boleh mengambil pendirian berbeza kerana negeri itu memiliki jumlah penduduk Islam yang besar. Elok cadangan itu dilaksana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika mahu undi umat Islam.
OMAR LOLO
Kuala Lumpur