SAUDARA PENGARANG,
APABILA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, secara tidak langsung memberi kesan bukan hanya kepada negara tetapi ekonomi, kesihatan dan perjalanan hidup seseorang.
Hikmah di sebalik pandemik ini secara tidak langsung membuka minda umat Islam untuk mengetahui secara dekat mengenai keluasan sunah yang diajar Rasulullah SAW dalam meraikan kepelbagaian situasi dan zaman.
Begitu juga kesesuaian al-Quran yang ajarannya hendaklah diamalkan. Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk terus menghukum sesuatu perbuatan meniru agama lain.
Contohnya, arahan untuk solat jemaah dengan jarak satu atau dua meter menjadi bahan diskusi sama ada ia merupakan tuntutan agama atau pandangan songsang.
Perbincangan yang diadakan itu sebenarnya belum mampu menyelesaikan kekusutan umat Islam selagi tiada usaha untuk memberi kefahaman serta penjelasan yang disokong dengan fakta sains.
Yang ada pada masa kini hanyalah berdasarkan data-data pesakit seperti yang dilaporkan dari semasa ke semasa.
Persoalan lain timbul dan masih menjadi keliruan kerana memerlukan penjelasan yang lebih tepat berhubung ilmu maqasid syariah yang dipraktikan sebagai panduan bagi menimbangkan sesuatu situasi yang berlaku sama ada berada pada kedudukan masyaqqah (kepayahan atau berat kemampuan) uzur syar’i, darurah, mafsadah, rukhsah dan sebagainya sehingga mewajarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus dilaksanakan.
Tidak dinafikan asas hukum dalam konteks SOP solat berjemaah dan solat Jumaat dalam suasana pandemik ialah kewajipan menghilangkan mudarat iaitu virus jangkitan Covid-19.
Ia juga perlu mengambil kira kesesuaian berhubung masyaqqah, mafsadah ataupun daruriyat.
Selain itu, perkara yang menyalahi kaifiyat solat tersebut dengan mengadakan sesuatu yang baharu bukankah tergolong sebagai perbuatan bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW juga para sahabat meskipun ketika berada di dalam keadaan darurat?
Permasalahan ini akan terus menjadi pertikaian antara ilmuan dan ulama di dalam mengaplikasikan fiqh muwazanah supaya masyarakat awam di luar sana tidak bercelaru dengan pemahaman yang masih kabur.
MUZAKKIR IB ADURRAHMAN
Kepala Batas, Pulau Pinang