Lelucon politik untuk sedapkan hati? - Utusan Malaysia

Lelucon politik untuk sedapkan hati?

YAKINKAH mereka yang majoriti rakyat akan terus memberi sokongan kepada UMNO jika parti itu masih mempertahankan pemimpin yang terpalit dengan dakwaan kes rasuah?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM meniti usia genap 75 tahun pada 11 Mei ini, UMNO masih diterajui pimpinan yang menggunakan naratif sama apabila berada dalam keadaan tertekan.

Apabila ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO berhijrah menyertai parti lain, maka lazimnya keluar bermacam-macam tuduhan yang rata-rata sekadar andaian tanpa bukti kukuh disertakan.

Ada pemimpin kanan UMNO menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai pakatan parti yang tidak stabil atau berdaya maju kerana menerima penyertaan ahli Parlimen daripada parti lawan. Adakah itu sekadar lelucon, mungkin untuk menyedapkan hati sendiri?

Apa asas atau hasil kajian yang menyokong semua andaian itu? Tidakkah pemimpin itu meletakkan UMNO di depan cermin? Mempunyai ahli parti paling banyak belum menjamin akan mendapat sokongan ramai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi UMNO sedang dibicarakan, ada tuduhan yang sudah disabitkan dan hukuman pun sudah dijatuhkan. Mana mungkin puluhan tuduhan yang dikenakan didakwa sebagai rekaan?

Jika benar ia rekaan, lalui proses perbicaraan dengan tenang tanpa perlu mengulang, merintih simpati kononnya apa yang dihadapi mereka itu adalah tindakan balas dendam melalui konspirasi parti dan pemimpin lawan.

Perlukah dihujahkan kononnya mereka diheret ke mahkamah kerana enggan bersekongkol dengan parti kerajaan atau mungkin juga semua tuduhan itu hadir kerana mereka gagal memujuk pemimpin kerajaan menggugurkan pendakwaan?

Yakinkah mereka yang majoriti rakyat akan terus memberi sokongan kepada UMNO jika parti itu masih mempertahankan pemimpin yang terpalit dengan dakwaan kes jenayah dan rasuah?
Di mana letaknya maruah Melayu jika pemimpin-pemimpin seperti ini terus disanjung dan diberi ruang dalam lingkaran kuasa di Malaysia?

Jika salah orang lain sahaja yang dicari, enggan melihat kelemahan sendiri dan kekal tidak berubah, salahkan diri sendiri andai UMNO menjadi tidak relevan dan ditolak pengundi pada PRU-15 nanti.

ISHAK HAMID
Johor Bahru, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya