SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN kursus bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa yang menuntut di universiti tempatan telah lama ditawarkan, namun kebanyakan mereka masih tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan.
Ini kerana terdapat universiti yang hanya mewajibkan kursus bahasa Melayu dalam tempoh dua atau tiga jam seminggu untuk satu semester sahaja. Mana mungkin pelajar asing dapat berkomunikasi dengan baik jika penawaran kursus hanya dalam tempoh singkat.
Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memperkemaskan kursus bahasa Melayu untuk pelajar asing. Hal ini, termasuklah melanjutkan tempoh kursus sedia ada seperti mewujudkan kursus bahasa Melayu 1, bahasa Melayu 2, bahasa Melayu penulisan dan sebagainya.
Bagi menjayakan hasrat ini, pihak universiti perlu memainkan peranan sebagai watak utama dalam mendukung Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia. Walaupun keutamaan mereka kepada subjek akademik dan kursus kemahiran, agenda bahasa untuk pelajar asing sama sekali tidak boleh disisihkan.
Selain itu, penutur natif juga harus menjadi tunjang kekuatan menggerakkan agenda memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing.
Penulis pernah ditanya pelajar dari China: “Kenapa di Malaysia banyak guna bahasa Inggeris, dalam kuliah juga guna bahasa Inggeris, dalam komunikasi harian juga ada bahasa Inggeris, bahasa rojak.
“Penggunaan bahasa Inggeris sangat meluas, ini sangat memudahkan saya. Tetapi sayangnya, saya juga kurang guna bahasa Melayu sebab orang Melayu pun mula berbual dengan saya menggunakan bahasa Inggeris. Apakah cikgu tidak bimbang dengan situasi ini?”
Soalan-soalan seperti ini diibaratkan seperti satu hukuman atas kealpaan kita sebagai penutur natif bahasa Melayu dalam mempertahankan bahasa ibunda sebagai medium penyampaian ilmu.
Kita sebenarnya mampu untuk melahirkan beribu-ribu Mat Dan, mahupun Husna atau Mark O’Dea yang fasih berbahasa Melayu.
MAZLINA AHMAD
Pensyarah bahasa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu