Kalau nak kritik biarlah membina - Utusan Malaysia

Kalau nak kritik biarlah membina

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKALUNG tahniah buat Lee Zii Jia atas kejayaan menjuarai Kejohanan All England, baru-baru ini.

Di sebalik kejayaan, elok diimbau kembali apa yang beliau hadapi di Kejohanan Terbuka Thailand sebelum ini.

Beliau tewas awal, lalu dihujani kritikan dan kecaman pelbagai pihak. Warganet secara terbuka membelasah menyebabkan beliau sangat tertekan dan rasa tidak mampu bangkit semula.

Beliau melakukan bedah siasat kendiri, dibantu barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada Tahun Baharu Cina, beliau sanggup tidak bercuti semata-mata mahu mengasah dan memperbaiki permainannya.

Hasilnya, satu demi satu pemain badminton antarabangsa ditewaskannya.

Kita wajar menyanjung kejayaan Zii Jia. Semangat juang, komitmen, dedikasi dan disiplin beliau wajar diteladani.

Yang pasti, kejayaan baru bermula. Ada banyak ranjau dan duri yang perlu ditempuh.

Teringat kita prestasi Muhammad Hafiz Hashim yang pernah mengungguli kejohanan sama tetapi kemudian mengalami kemerosotan demi kemerosotan.

Maka diharapkan, Zii Jia dapat terus meningkatkan prestasi dan lebih berjaya pada masa hadapan.

Kepada warganet, suka saya menyeru supaya lebih berhati-hati dalam melontarkan pandangan. Janganlah meruntuhkan tetapi berilah kritikan membina.

Zii Jia masih muda, iaitu 23 tahun. Jika Datuk Lee Chong Wei bersara pada usia 34 tahun, bermakna ada lebih 10 tahun untuk Zii Jia mempamerkan kehebatan di gelanggang badminton.

Kita perlu melahirkan lebih ramai jaguh badminton dan generasi muda perlukan galakan dan dorongan untuk meminati sukan berkenaan.

Ikon baharu perlu diketengahkan, meneruskan legasi badminton Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Wong Choon Han dan Chong Wei.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya