SAUDARA PENGARANG,
PERHIJRAHAN warga asing ke Malaysia sejak dahulu lagi menyebabkan jumlah mereka semakin ramai sehingga mampu membentuk komuniti besar di beberapa kawasan yang mendapat gelaran seperti Little Afrika, Little Indonesia dan Little Bangladesh.
Itulah ‘kejayaan’ mereka dan keunikan warga asing apabila berhijrah ke Malaysia. Di Puchong, Selangor terdapat ramai rakyat dari benua Afrika sementara di Jalan Tunku Abdul Rahman dan pusat bandar Kuala Lumpur pula dipenuhi warganegara Indonesia.
Di sekitar Selayang, Selangor pula terkenal dengan etnik Rohingya manakala di setengah tempat di negeri itu dibanjiri warga Bangladesh.
Pertambahan penempatan sedemikian pada awalnya kelihatan tidak serius tetapi apabila semakin besar seperti Little Myanmar di Bukit Malut, Langkawi, Kedah yang dianggarkan didiami 10,000 orang, itu sudah boleh diibaratkan seperti bom jangka.
Bagi saya, warga asing yang membentuk komuniti besar di satu-satu kawasan adalah ‘kejayaan’ penghijrahan mereka ke satu negara.
Pihak kerajaan pula menunjukkan kealpaan dari segi pengawalan di pintu masuk sempadan dan wujud kelemahan pemantauan agensi yang terlibat.
Sebenarnya, setiap kawasan yang membentuk komuniti besar warga asing sehingga mendapat gelaran ‘little’ adalah bom jangka, bukan hanya di Bukit Malut sahaja. Semuanya boleh meletup dan menyebabkan ‘kemusnahan’ kepada negara di mana ia terletak.
Banyak kesan buruk kebanjiran rakyat asing terurama yang tidak berkemahiran. Mereka menggugat masyarakat setempat dari aspek sosial, kebersihan, sehinggakan peluang pekerjaan dan keselamatan.
Mungkin bom jangka itu sekarang kuasanya belum cukup kuat tetapi bila telah kuat nanti kesannya cukup hebat jika meledak.
Saya sangat bersetuju dengan pandangan pakar geostrategi, Azmi Hassan yang menyatakan penempatan dalam jumlah yang ramai akan mewujudkan herd mentality atau mentaliti kawanan.
Ia boleh dilihat apabila mereka berani melanggar undang-undang untuk membina tempat tinggal walaupun ia telah diwartakan sebagai kawasan larangan untuk membina penempatan.
Kemungkinan banyak lagi larangan dan undang-undang yang akan dilanggar. Kerajaan perlu segera membuat siasatan dan mengenakan hukuman kepada pihak yang menjadi dalang membawa masuk warga asing secara haram dan membenarkan penempatan dibuka dalam skala besar.
Selain itu, tindakan undang-undang yang tegas juga perlu dikenakan terhadap mereka yang memiliki kad pengenalan secara haram dan menceroboh tanah untuk membina penempatan.
Isu ini perlu diselesaikan segera kerana ia akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang