Jangan persenda penat lelah guru - Utusan Malaysia

Jangan persenda penat lelah guru

GURU ialah insan yang banyak berkorban demi masa depan anak didik mereka.- GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA kita bertanya kepada ayah, ibu, datuk atau nenek, siapakah guru mereka, sudah pasti secara automatik akan menyebut nama individu tersebut dan menceritakan pelbagai jasanya. Ini menunjukkan betapa tinggi mereka menghormati guru.

Akan tetapi, apa pandangan masyarakat kini terhadap mereka yang bergelar guru? Tatkala negara mengalami krisis penularan pandemik Covid-19, banyak sektor terkesan lebih-lebih lagi pendidikan.

Sistem pendidikan berubah 360 darjah ke arah sesi pembelajaran dalam talian dan luar talian secara penuh yang tidak pernah dilaksanakan semenjak pembentukan awal sistem pendidikan di negara ini.

Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi oleh guru dan mereka telah melakukannya dengan penuh daya usaha bagi memastikan kelangsungan proses pendidikan untuk masa depan anakanak kita.

Namun, ada segelintir pihak mempersendakan dan memperlekehkan  usaha guru. Perbuatan sebegini tidak seharusnya berlaku di mana kita sememangnya hidup secara aman dan harmoni sejak dahulu lagi.

Tidak wajar kita menyokong golongan yang cuba menjatuhkan martabat insan yang memerah keringat dalam melonjakkan mutu pendidikan negara. Ibu bapa sememangnya menyayangi anak-anak bagai menatang minyak yang penuh.

Sudah pasti ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya. Janganlah kita menyalahkan norma baharu pembelajaran dan pengajaran anak-anak dengan mencari kesalahan dan menuding jari kepada pihak lain terutama guru.

Ibu bapa janganlah seperti kacang lupakan kulit. Kejayaan yang kita nikmati hari ini tidak akan dapat dicapai tanpa sumbangan insan mulia bernama guru. Guru yang dahulu dan kini adalah sama, iaitu insan yang banyak berkorban demi anak didik mereka.

Berilah sokongan 100 peratus kepada mereka untuk mendidik anak-anak kita ketika ketidaktentuan keadaan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara. Renung-renungkanlah.

DR. RAJA NAZIM RAJA ABDULLAH
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya