Jangan berbalah kerana jarak saf ketika Covid-19 - Utusan Malaysia

Jangan berbalah kerana jarak saf ketika Covid-19

TIMBUL polemik dalam kalangan umat Islam mengenai penjarakan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK Malaysia diuji dengan penularan pandemik Covid-19, timbul polemik dalam kalangan umat Islam terhadap penjarakan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau. Terdapat segelintir masyarakat menyuarakan bahawa ia bertentangan dengan hadis Nabi SAW.

Perkara itu termasuk dalam kategori isu-isu fikah (hukum-hukum) Islam yang baharu. Pihak mufti dan jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia telah berusaha mempertimbangkan beberapa hujah dan dalil yang jelas bagi pelaksanaan SOP penjarakan saf di masjid dan surau.

Pertama, berasaskan dalil al-Quran yang menggesa melaksanakan ketakwaan dan ketaatan sekadar kemampuan iaitu: “Hendaklah kamu semua bertakwa kepada Allah sekadar yang kamu mampu.” (Surah al-Taghabun: 16).

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menjelaskan di dalam Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan bahawa ayat tersebut menunjukkan semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba akan gugur jika tiada kemampuan.

Kedua, tidak terdapat sebarang nas atau dalil yang qat’ie (putus) dalam isu merapatkan saf. Hal itu yang menyebabkan isu penjarakan saf boleh berlakunya khilaf (perbezaan) pendapat dalam kalangan ulama berdasarkan ijtihad masing-masing.

Ketiga, terdapat kaedah fikah “semua hukum berlegar bersama illah (sebab), sama ada ia wujud atau tidak” yang menjelaskan bahawa sekiranya ada sebab iaitu penularan wabak Covid-19, maka wujud hukumnya iaitu penjarakan saf. Sekiranya tiada sebab, maka tiada hukum tersebut.

Keempat, merapatkan saf bukan termasuk dalam syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat sah berjemaah ialah berkumpulnya imam dan makmum di suatu tempat yang sama. Maka hal ini tetap tercapai dalam situasi solat berjemaah secara berjarak.

Namun, masyarakat perlu faham bahawa situasi itu adalah secara bertempoh sahaja. Sekiranya keadaan sudah kembali normal, maka pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf perlu dilaksanakan seperti yang dituntut oleh Nabi SAW.

Berdasarkan hujah dan pertimbangan di atas, Resolusi Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 30 April 2020 telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Garis Panduan Solat Fardhu dan Sunat Secara Berjemaah dalam Tempoh Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP – Covid-19) yang antara lain memperuntukkan: “Jarak antara imam dengan makmum adalah satu meter, begitu juga jarak antara para makmum adalah satu meter.”

Bagi kawasan zon hijau pula, penjarakan saf dikurangkan dari satu meter mengikut kesesuaian masjid dan surau.

Pertimbangan penjarakan saf dalam solat berjemaah itu turut selari dengan fatwa yang dikeluarkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan fatwa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Mesir dan Palestin.

Sewajarnya, soal hukum dan fatwa diserahkan sepenuhnya kepada para mufti dan ahli jawatankuasa fatwa dalam menentukan yang sesuai mengikut perubahan waktu, tempat dan situasi semasa.

DR. AZRI BHARI
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya