Belajar Matematik lebih seronok sewaktu pandemik - Utusan Malaysia

Belajar Matematik lebih seronok sewaktu pandemik

SUBJEK Matematik tidak boleh diajar secara satu hala dengan murid duduk dan dengar sahaja. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SATU persoalan yang sering ditimbulkan, bolehkah guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi subjek Matematik dengan berkesan sedangkan murid perlu mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan rajin mencuci tangan?

Bayangkan reaksi dan respons murid sekiranya PdPc bagi subjek Matematik dijalankan secara satu hala di mana guru bertungkus lumus menyalurkan isi pelajaran manakala murid duduk dan dengar sahaja. Sekiranya situasi tersebut berpanjangan, murid tentu akan hilang fokus untuk belajar.

Matematik adalah satu subjek yang memerlukan murid memahami konsep asas, seterusnya mengaplikasi konsep tersebut dalam kehidupan harian. Malah, Matematik memerlukan murid banyak membuat latihan.

Untuk pelaksanaan PdPc yang menarik dan selamat dan pada masa sama memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, ia sebenarnya memerlukan kerjasama antara murid dengan guru.

Misalnya, murid boleh menyediakan papan tulis kecil ataupun kad manila yang dibalut dan pen penanda untuk digunakan sepanjang aktiviti di dalam kelas.

Guru boleh menganjurkan pertandingan bagi subjek Matematik di mana murid bertanding sesama mereka untuk menjawab soalan. Murid hanya perlu menulis langkah penyelesaian pada kad manila dan menunjukkan kepada guru apabila berjaya menyiapkannya.

Pada masa sama, guru dapat memerhatikan tahap penguasaan murid. Murid juga boleh menilai hasil kerja kawan dari tempat duduk masing-masing.

Hakikatnya, aktiviti yang dijalankan sebelum pandemik masih boleh dijalankan. Namun, seseorang guru hendaklah memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid. Sebagai contoh, seseorang guru boleh menjalankan permainan pada papan putih dengan mengambil kira keperluan penjarakan fizikal.

Papan putih dibahagikan kepada beberapa bahagian. Murid menggunakan pen penanda untuk menjawab soalan. Dengan itu, murid-murid bukan sekadar dapat menjalani aktiviti malahan mereka juga dapat menjaga jarak satu meter.

Selain itu, sorakan boleh diajar kepada anak murid bagi meningkatkan semangat mereka untuk belajar. Pelaksanaan aktiviti PdPc yang berlainan dapat menimbulkan rasa keseronokan kerana murid sudah lama duduk di tempat masing-masing.

Seterusnya, seseorang guru juga boleh merancang aktiviti amali yang ringkas seperti melukis bentuk, melipat kertas ataupun jual beli secara langsung atau tidak langsung. Sekiranya guru menjalankan aktiviti di dalam kelas, pastikan kawasan di dalam bilik darjah adalah luas.

Alatan dan bahan yang digunakan dikehendaki disanitasi sebelum dan selepas murid menggunakannya. Guru juga boleh menganjurkan aktiviti jual beli secara maya dengan penggunaan teknologi.

Sehubungan itu, murid boleh bermain dan menyiapkan tugasan mereka menerusi aplikasi seperti Google Classroom, Quizizz, Kahoot dan lain-lain lagi.

Seiring dengan pasca Covid-19, guru boleh menerapkan unsur teknologi dalam pembelajaran Matematik. Galakan diberi kepada murid untuk mencuba sesuatu yang baharu.

CHEOK SIEW BEE
Pelajar Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya