SAUDARA PENGARANG,
SEJAK November lalu hingga awal tahun ini, banjir melanda beberapa kawasan di seluruh negara menyebabkan lebih 40,000 penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.
Terdapat juga beberapa kes kematian akibat bencana itu. Banjir terburuk dalam sejarah negara direkodkan pada 15 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015 yang meragut nyawa 21 mangsa dan menjejaskan lebih 200,000 penduduk dengan kerugian harta benda mencecah RM560 juta.
Direkodkan dalam sejarah dunia, banjir besar di Wuhan dan Nanjing, China pada 1931 adalah bencana alam terburuk dengan anggaran kematian mencecah dua juta orang termasuk 140,000 orang lemas.
Selain banjir, bencana alam lain seperti gempa bumi turut menggerunkan manusia kerana mampu mengubah landskap kehidupan sesebuah negara.
Kita tidak akan lupa kejadian tsunami membadai Aceh pada 26 Disember 2004 yang meragut nyawa lebih 230,000 orang.
Selepas banjir besar di China pada 1931, kerajaan negara itu terpaksa melaksanakan pelbagai langkah pemulihan agar dapat membangunkan semula kawasan-kawasan yang musnah.
Peritnya menghadapi bencana adalah satu aspek yang tidak semua orang dapat bayangkan terutama bagi yang tidak pernah menghadapinya.
Antaranya memastikan bekalan makanan mencukupi, bantuan perumahan, mengawal harga makanan dan mewujudkan pengurusan sistem percukaian yang lebih baik serta tidak menyusahkan penduduk.
Kilang beras dan kawasan pertanian dibangunkan, pengecualian cukai dilaksanakan serta program penanaman semula digiatkan untuk memastikan kecukupan makanan kepada penduduk wilayah yang terjejas.
Ini menunjukkan perancangan, peranan dan keprihatinan kerajaan amat penting pada waktu-waktu kritikal seperti itu.
Bencana alam berskala besar memerlukan gandingan program kerajaan dan bantuan antarabangsa yang mantap agar beban ditanggung oleh mereka yang terkesan dapat dikurangkan.
Di sinilah sikap prihatin antara negara dan sesama manusia dibuktikan dalam bentuk tindakan.
DR. SITI SURIANI OTHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)