SAUDARA PENGARANG,
KAWASAN rekreasi dan riadah mula menjadi tumpuan ramai sejak kelonggaran diberikan oleh kerajaan terhadap negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Orang ramai mengambil peluang beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan di taman rekreasi terpilih seperti di sungai, air terjun dan hutan simpan.
Namun, kebebasan ini seolah-olah disalahgunakan oleh segelintir individu yang tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan kawasan rekreasi awam.
Kita dapat menyaksikan isu pembuangan sampah khususnya, di kawasan sungai dan air terjun tular di media sosial sejak kebelakangan ini. Hal ini membawa kepada kebimbangan terhadap tahap kebersihan kawasan tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai.
Ditambah negara sekarang masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19, sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab seperti membuang plastik, bekas makanan dan minuman mencerminkan wajah bangsa Malaysia yang tidak mengambil endah terhadap kebersihan dan penjagaan alam sekitar.
Malah, sampah sarap tersebut dibiar begitu saja tanpa diambil peduli oleh masyarakat sehingga wujud persekitaran kurang enak oleh pengunjung lain yang terpaksa mengutip dan membersihkan secara sukarela.
Ada berpendapat, keperluan untuk melantik jawatankuasa dan pegawai yang lebih lantang dan penguatkuasaan ketat seperti denda untuk menghukum masyarakat yang bersikap tidak bertamadun ini.
Akan tetapi jika diperhalusi, masyarakat seharusnya memainkan peranan terlebih dahulu dalam menjaga kebersihan persekitaran kawasan rekreasi agar tidak berlaku pencemaran yang mampu menjadi penyebab kepada masalah kesihatan kelak.
Kita seharusnya berasa bangga kerana negara kaya dengan keindahan alam semula jadi yang mampu menarik minat masyarakat antarabangsa. Sikap suka membuang sampah seperti ini diibaratkan menconteng arang di muka sendiri.
Oleh itu, diharapkan masyarakat dapat menyemai sikap tanggungjawab untuk membersihkan kawasan taman rekreasi yang telah dikunjungi. Pastikan anda membawa plastik sampah dan membuangnya di kawasan dibenarkan.
Alam adalah amanah Tuhan untuk kita dan kebersihannya adalah tanggungjawab bersama.
FAHMI IZZ, Shah Alam, Selangor