SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI semua sedia maklum, terdapat peraturan melarang kenderaan berat memasuki Kuala Lumpur pada waktu puncak iaitu dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 7.30 malam. Bagaimanapun, peraturan itu tidak terpakai pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Papan tanda mengenai larangan itu memang banyak dipasang di sepanjang laluan ke pusat bandar, tetapi lori simen dan treler yang membawa muatan berat dilihat terus memasuki Kuala Lumpur tanpa menghiraukan peraturan berkenaan.
Sudahlah melanggar peraturan, kenderaan berat terbabit didapati sering menggunakan lorong paling kanan semata-mata kerana mahu mengelak kesesakan disebabkan lorong kiri yang mempunyai banyak susur masuk dan keluar selalu sesak.
Oleh kerana keingkaran ini, saya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis trafik meletakkan anggota penguat kuasa secara tetap di plaza tol untuk menahan kenderaan berat terbabit dan hanya dibenarkan bergerak selepas tamat waktu larangan masuk.
Dalam pada itu, saya ingin tahu, adakah larangan kenderaan berat melalui Jalan Kuala Lumpur-Tanjung Malim sejak 14 Ogos 2019 masih dikuatkuasakan? Ini kerana banyak kenderaan berat menggunakan laluan berkenaan pada waktu puncak terutama kawasan berbukit yang boleh berlaku kesesakan teruk apabila lori rosak.
Larangan itu melibatkan jarak sejauh lapan kilometer bermula dari stesen minyak Caltex di Selayang Pandang sehingga jalan pintas Rawang-Serendah dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dari 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.
ABANG REMPIT
Kajang, Selangor