SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini supaya gaji bulanan di bandar-bandar besar ditetapkan pada kadar minimum RM2,700 bagi menarik rakyat tempatan menceburi sektor pekerjaan yang sering didominasi warga asing adalah munasabah. Antara bandar besar berkenaan adalah Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang mencatat kos sara hidup sangat tinggi.
Langkah itu sebenarnya dapat memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan, susulan pendirian kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing. Rakyat tempatan sebelum ini sering menolak menceburi sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya) berikutan kadar gaji rendah. Penduduk Malaysia sebenarnya tiada masalah untuk bekerja jika gaji ditawarkan setimpal. Ini terbukti apabila ramai sanggup bekerja dalam sektor 3D sebagai tukang cuci tandas di Singapura dan bekerja mengutip epal di Australia dan New Zealand disebabkan gaji yang ditawarkan tinggi.
Kerajaan juga perlu memastikan masalah terma pekerjaan tidak memuaskan diatasi segera termasuk mengambil mereka bekerja secara tetap. Pekerjaan tetap akan memastikan pekerja tempatan terbabit layak menerima pelbagai faedah disediakan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Pada masa sama, kerajaan perlu memberi insentif kepada majikan yang menggaji rakyat tempatan menggantikan pekerja asing. Memang diakui sudah ada program Insentif Pengambilan Pekerja membabitkan insentif bagi tempoh enam bulan. Bagi saya, insentif ini boleh ditambah baik dan tempoh dipanjangkan serta tidak terhad kepada enam bulan sahaja.
RAKYAT TEMPATAN
Shah Alam