Mengapa kadar sara diri beras negara masih menurun?

Mengapa kadar sara diri beras negara masih menurun?

SEBELUM mengejar sasaran sekitar 80 peratus menjelang 2030, cabaran pertama ialah mengubah trend dan memastikan SSR negara kembali meningkat secara mampan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari, rakyat Malaysia menikmati nasi sebagai hidangan utama. Namun, di sebalik sepinggan nasi itu tersimpan persoalan tentang keterjaminan makanan negara. Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2.62 bilion kepada sektor padi.

Daripada jumlah tersebut, RM1.4 bilion merupakan subsidi input pertanian bagi membiayai Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRB) dan Insentif Benih Padi Sah.

Sebanyak RM825 juta pula diperuntukkan sebagai subsidi output melalui Skim Subsidi Harga Padi, manakala baki RM397 juta untuk lain-lain insentif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sebalik sokongan yang besar ini, data rasmi terkini menunjukkan kadar sara diri atau self-sufficiency ratio (SSR) beras negara hanya 52.9 peratus pada 2024. Lebih membimbangkan ialah trend penurunannya.

SSR beras menurun daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 60.9 peratus pada 2021, 57.9 peratus pada 2022, 56.2 peratus pada 2023 dan 52.9 peratus pada 2024. Ini bermakna SSR beras negara menyusut sebanyak 9.2 peratus dalam tempoh empat tahun.

Angka sebenar SSR bagi 2025 masih belum dilaporkan secara rasmi, sedangkan kerajaan menyasarkan 75 peratus pada 2025 dan sekitar 80 peratus menjelang 2030. 

Jurang antara pencapaian dan sasaran ini perlu diberi perhatian. SSR yang rendah tidak bermakna Malaysia akan kehabisan beras kerana kekurangan pengeluaran domestik boleh ditampung melalui import.

Namun, bagi komoditi strategik seperti beras, kebergantungan yang tinggi kepada import meningkatkan pendedahan negara kepada turun naik harga dunia, sekatan eksport, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.

Subsidi besar, cabaran produktiviti 

Kerajaan sememangnya menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pesawah. Selain subsidi input dan pelbagai insentif, sokongan kepada pesawah turut diperkukuh melalui mekanisme harga.

Mulai 16 Februari 2025, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik. Skim Subsidi Harga Padi pula telah dinaikkan daripada RM360 kepada RM500 bagi setiap tan metrik sejak Ogos 2023.

Subsidi dan insentif ini penting untuk membantu pesawah menghadapi peningkatan kos baja, racun, jentera dan upah buruh, selain mengurangkan beban akibat banjir, kemarau, penyakit tanaman serta ketidaktentuan cuaca.

Oleh itu, isu utama bukanlah sama ada subsidi perlu diteruskan atau dihentikan. Sebagai pengeluar komoditi strategik negara, pesawah, khususnya pesawah kecil, masih memerlukan bantuan kerajaan.

Namun, dari perspektif ekonomi pertanian, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana subsidi dan insentif tersebut benar-benar mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan pengeluaran dan pendapatan pesawah.

Jika subsidi hanya berfungsi untuk menampung kenaikan kos tanpa meningkatkan produktiviti, pesawah berkemungkinan menghadapi tekanan kos yang sama pada musim berikutnya.

Oleh itu, pemberian subsidi perlu dilaksanakan seiring dengan usaha menangani masalah struktur dalam sektor padi, termasuk kelemahan sistem pengairan, tahap mekanisasi dan penggunaan teknologi yang masih rendah, pengurusan ladang yang kurang cekap serta skala pengeluaran yang kecil.

Sehubungan itu, tumpuan dasar perlu beralih daripada sekadar menilai jumlah subsidi yang dibelanjakan kepada persoalan yang lebih penting, iaitu sejauh mana setiap ringgit subsidi mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.

Keberkesanan sistem sokongan ini turut mempunyai kaitan dengan keupayaan negara meningkatkan pengeluaran padi dan memperkukuh tahap sara diri beras.

Walaupun penurunan kadar sara diri (SSR) tidak boleh dikaitkan dengan subsidi semata-mata, trend tersebut perlu diberi perhatian. SSR dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keluasan bertanam, produktiviti, permintaan beras, keadaan cuaca dan perubahan struktur industri.

Namun, trend SSR yang terus menurun memberikan isyarat bahawa sistem sokongan sedia ada masih belum cukup berkesan untuk mengatasi kelemahan struktur yang membelenggu sektor padi.

Subsidi berorientasi input

Subsidi input masih penting, khususnya untuk melindungi pesawah kecil daripada peningkatan kos pengeluaran.

Namun, sebahagian sokongan boleh secara berperingkat direka bentuk untuk mendorong peningkatan produktiviti, pengurangan kos dan penggunaan sumber yang lebih cekap.

Dengan cara ini, subsidi bukan sahaja membantu pesawah menghadapi tekanan kos semasa, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan daya saing dalam jangka panjang.

Usaha meningkatkan produktiviti pula tidak boleh bergantung kepada penambahan input semata-mata. Infrastruktur pengairan dan saliran merupakan antara prasyarat utama pengeluaran padi.

Dalam keterujaan membicarakan dron, Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan dan pertanian pintar, kita tidak boleh melupakan keperluan paling asas dalam penanaman padi, iaitu air.

Teknologi yang canggih tidak banyak membantu jika bekalan air tidak sampai ke sawah pada masa yang diperlukan. Justeru, pelaburan dalam sistem pengairan, saliran dan infrastruktur ladang perlu berjalan seiring dengan agenda digitalisasi dan mekanisasi.

Begitu juga dengan penggunaan teknologi. Dron, sensor dan pertanian tepat berpotensi mengurangkan penggunaan input, kos buruh serta meningkatkan ketepatan pengurusan tanaman.

Namun, manfaatnya hanya dapat direalisasikan apabila teknologi sesuai dengan skala ladang, mudah digunakan serta disokong oleh latihan dan perkhidmatan teknikal yang berkesan.

Skala pengeluaran turut menjadi sebahagian daripada cabaran. Majoriti pesawah di Malaysia khususnya di kawasan MADA dan KADA mengusahakan sawah kurang daripada 2 hektar.

Saiz sawah yang kecil mengehadkan penggunaan teknologi dan jentera secara ekonomik.

Oleh itu, model pengurusan secara kelompok dan SMART Sawah Berskala Besar boleh diperluaskan sekiranya terbukti mampu mewujudkan ekonomi skala tanpa menjejaskan hak pemilikan tanah pesawah.

Dengan kata lain, subsidi perlu berkembang daripada sekadar menjadi penampan kenaikan kos kepada instrumen yang turut mendorong transformasi produktiviti.

Ukur pendapatan, bukan hanya hasil

Produktiviti bukan satu-satunya ukuran kejayaan. Pesawah yang menghasilkan tujuh tan sehektar tetapi menanggung kos pengeluaran yang tinggi tidak semestinya lebih sejahtera daripada pesawah yang menghasilkan enam tan pada kos yang lebih rendah.

Oleh itu, prestasi sub-sektor padi bukan sahaja dinilai berdasarkan hasil sehektar, tetapi perlu mengambilkira kos pengeluaran setiap tan, margin keuntungan sehektar, produktiviti buruh dan pendapatan bersih pesawah.

Matlamat akhirnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak padi, tetapi memastikan peningkatan pengeluaran diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan hidup  pesawah.

Data di peringkat ladang juga perlu diperkukuhkan. Keadaan tanah, sistem pengairan, varieti benih, saiz operasi dan tahap mekanisasi berbeza antara kawasan.

Data mikro yang lebih baik membolehkan kerajaan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi perbezaan produktiviti dan seterusnya menentukan intervensi yang lebih sesuai mengikut keperluan setempat.

Dari perspektif ekonomi, keterjaminan makanan tidak semestinya memerlukan negara mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR).

Strategi yang lebih seimbang ialah menggabungkan pengeluaran domestik yang kukuh, stok penimbal yang mencukupi, sumber import yang dipelbagaikan dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Namun, penurunan SSR daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada 2024 tetap merupakan isyarat yang tidak boleh dipandang ringan.

Sebelum mengejar sasaran sekitar 80 peratus menjelang 2030, cabaran pertama ialah mengubah trend tersebut dan memastikan SSR negara kembali meningkat secara mampan.

Peruntukan RM2.62 bilion pada 2026 menunjukkan komitmen besar kerajaan terhadap industri padi. Kini, persoalan dasar perlu bergerak daripada jumlah perbelanjaan kepada pulangan daripada setiap ringgit yang dibelanjakan.

Adakah hasil sehektar meningkat? Adakah kos pengeluaran dapat dikurangkan? Adakah pendapatan bersih pesawah bertambah? Dan yang paling penting, adakah SSR negara kembali meningkat?

Jika subsidi dan pelaburan kerajaan mampu mencapai matlamat tersebut, ia bukan sekadar perbelanjaan kerajaan, tetapi pelaburan strategik dalam keterjaminan makanan negara.

Pada akhirnya, kejayaan dasar berkaitan padi bukan diukur berdasarkan berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi berapa banyak nilai yang dapat dihasilkan daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pesawah, pengguna dan negara. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Roslina Kamaruddin ialah Felo Penyelidik, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini