“SESUNGGUHNYA syura menyatukan pandangan dan adab menyatukan hati. Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan. Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan. Jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Kemelut kuasa yang melanda Negeri Sembilan sekali lagi menguji ketahanan institusi pentadbiran negeri dan kewibawaan undang-undang tubuh. Terkini tular di media sosial rakaman menunjukkan teguran pedas oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kepada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Video berkenaan khususnya memaparkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir murka kepada Ismail dan menyatakan tidak sepatutnya beliau mengadap Tuanku selagi mana Surat Cara Proklamasi yang ditandatangani tidak ditarik balik.
Sebelum ini, Menteri Besar yang dilantik pada 2 Ogos lalu mendedahkan dokumen Surat Cara Proklamasi berhubung penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, ditandatanganinya pada 3 Ogos lalu, dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan. Bahkan, satu laporan polis telahpun dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, kedaulatan dan kedudukan institusi raja di Malaysia dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 71 yang menjamin hak serta kedudukan raja-raja di sisi undang-undang.
Dalam situasi pergolakan politik atau krisis pentadbiran seperti ini, institusi raja berfungsi sebagai pasak kestabilan yang memelihara kesejahteraan rakyat dan keharmonian negeri.
Situasi di Negeri Sembilan mengingatkan kita yang setiap kemelut kepimpinan tidak boleh diselesaikan melangkaui lunas perlembagaan dan adat istiadat yang termaktub.
Apabila pemimpin politik terheret dalam pertelagahan kuasa, rakyat dan kestabilan pentadbiranlah yang akan menanggung akibatnya. Sudah tiba masanya semua pihak kembali kepada prinsip muafakat, berhemah dan mematuhi lunas undang-undang demi memastikan kemuliaan serta kedudukan berdaulat institusi beraja terus terpelihara.
Di saat wujud pergelokan politik yang kuat, seperti ketika perubahan pucuk pimpinan cabang eksekutif, institusi raja adalah penaung yang memelihara keselamatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional.
Situasi sebegini tidak asing di Malaysia, lihat sahaja kemelut politik sekitar 2020-2022. Peranan yang dimainkan oleh institusi beraja dalam mengembalikan kestabilan kepada negara membuktikan peri penting nilai raja-raja Melayu di Malaysia.
Bahkan jika kita telesuri sejarah panjang Malaysia, negara ini meraih kemerdekaan hanya dengan pengaruh besar yang berjaya dimainkan oleh raja-raja Melayu semasa proses kemerdekaan dirunding.
Dengan menghayati sejarah ini, sudah tentu sebagai rakyat negara berdaulat ini tiada rakyat yang akan mampu menidakkan peranan besar institusi raja melalui penglibatan raja-raja Melayu dalam Persidangan Perlembagaan yang diadakan di London pada tahun 1956.
Martabat raja-raja Melayu diiktiraf dalam mukadimah Laporan Suruhanjaya Reid yang menyatakan terma rujukan suruhanjaya bebas itu.
Sejarah inilah yang membolehkan pembentukan identiti negara bangsa unik dan tersendiri yang diperkemaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara elemen jati diri yang dimaksudkan termasuklah mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, serta takrifan ‘orang Melayu’ itu sendiri yang disemat mengikut gaya hidup budaya Melayu.
Sudah tentu pasak negara bangsa ini hanya dapat dimeterai dengan adanya kuasa politik perwakilan Melayu (termasuklah tekanan hegemoni raja-raja Melayu), yang merasakan wujud keperluan negara ini mengiktiraf jati diri watan Tanah Melayu di samping mengimbangi tuntutan dan kepentingan etnik lain bagi menzahirkan perpaduan nasional.
Lebih penting lagi, figura Yang di-Pertuan Agong menjadi simbol kesepaduan kepada 32.7 juta rakyat yang bernaung di bawah negara yang sama.
Meskipun ramai yang sering membidas peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai melebihkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, namun perlu ditekankan Perkara 153 juga meletakkan beban amanah dan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.
Perkara ini diserlahkan lagi melalui sumpah Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat untuk ‘menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan… dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.’
Pelbagai konflik antara agama dan antara kaum yang sering menjadi isu semasa, membuktikan masih banyak lagi ruang di mana institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong, mampu dan perlu mengisi bagi memperkukuhkan perpaduan nasional di Malaysia.
Keharmonian yang dikecapi selama ini perlu diikat dengan satu figura perpaduan yang menjadi simbol penjaga hak dan kepentingan sah kesemua komuniti di dalam negara.
‘MANIFESTO’ PELAJAR CERMINAN KERESAHAN MASYARAKAT
Minggu ini turut tular ‘manifesto’ pelajar yang melakukan serangan bersenjata di sekolah sehingga seorang guru cedera. Dalam karangan pelajar itu, dia turut mempersoalkan identiti Melayu yang diikat kepada agama Islam dan menyelar kononnya amalan agama Islam di negara ini tidak sebaik ‘Islam’ anutan di Arab Saudi. Seolah-olah jika wujud perbandingan dan perbezaan, agama Islam di Malaysia dilihat lemah dan tidak sempurna.
Tetapi apakah sentimen sebegini benar? Sedangkan sebagai Ketua Agama Islam, institusi raja berperanan besar menubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bermula daripada persetujuan Majlis Raja-Raja pada 17 Oktober 1968.
Kita semua maklum ruang besar yang dimainkan Jakim dalam memastikan kefahaman Islam yang dianuti di Malaysia terpelihara.
Pun begitu, teguran dalam manifesto pelajar itu wajar diambil sebagai pemangkin agar pemimpin negara melihat permasalahan yang dialami rakyat melangkaui perbalahan politik perebutan kuasa masing-masing.
Bila gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Semoga institusi raja di Malaysia terus menaungi kedaulatan negara ini dan memelihara kesejahteraan rakyat melangkaui perbalahan politik. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.









