Dilema bahasa rojak

Dilema bahasa rojak

IA bukan sekadar “jangan guna bahasa rojak”, tetapi tahu bila bahasa santai boleh digunakan dan bila bahasa Melayu standard perlu digunakan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sir, saya dah submit assignment. Tapi saya tak sure betul ke tak. Nanti sir check ya.”

Ayat seperti ini mungkin kedengaran biasa. Malah, kita mungkin tidak lagi menyedari bahawa empat perkataan bahasa Inggeris telah diselitkan dalam satu pertuturan bahasa Melayu yang mudah.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sering mendengar bentuk komunikasi sebegini dalam kehidupan harian bukan sahaja di bilik tutor malahan di kedai kopi, ruang menunggu di hospital, kaunter pembayaran di pasaraya malahan di ruang tamu rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalannya, adakah ini sekadar cara generasi hari ini berkomunikasi, atau petanda bahawa penggunaan bahasa Melayu sedang mengalami perubahan yang perlu kita beri perhatian? Bahasa Melayu hari ini berhadapan dengan cabaran yang agak berbeza daripada dahulu.

Cabaran itu bukan kerana masyarakat sudah berhenti menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya, bahasa Melayu masih digunakan dengan meluas, tetapi bentuk penggunaannya semakin bercampur dengan bahasa lain, singkatan, slanga dan istilah digital.

NORMALISASI
Percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan antara bentuk yang paling mudah diperhatikan. Cuba kita lihat perbualan di kampus, pejabat, restoran atau dalam kumpulan WhatsApp.

Kesemua ayat dalam pertuturan digunakan masih dapat difahami. Komunikasi tetap berlaku walaupun dua bahasa digunakan dalam satu ayat.

Sebenarnya kita boleh menyampaikan kesemua mesej tersebut dalam bahasa Melayu standard, tanpa mengelirukan atau mengubah maksud mesej yang ingin disampaikan.

Persoalannya bukan sama ada seseorang itu boleh atau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Penguasaan bahasa Inggeris sememangnya berguna, terutama dalam pendidikan tinggi dan dunia pekerjaan. Masalah timbul apabila kita terlalu biasa mencampurkan bahasa sehingga sukar mencari perkataan Melayu yang sebenarnya sudah tersedia sejak berkurun lamanya.

Kajian tentang penggunaan bahasa rancu dalam kalangan Generasi Z di media sosial seperti Tik Tok, Facebook, X dan seangkatannya menemukan beberapa bentuk kerancuan, termasuk percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, penggunaan kata-kata singkatan, kesalahan morfologi dan kesalahan ejaan.

Antara faktor yang dikenal pasti ialah pengaruh media sosial, sikap terhadap bahasa Melayu dan keterbatasan pengetahuan kosa kata bahasa Melayu.

Ketaasuban kita terhadap media sosial sebenarnya telah mengubah bukan sahaja apa yang kita katakan, tetapi juga bagaimana kita menulis.

Singkatan diamalkan dan dikatakan menjimatkan masa. Sebenarnya, dalam komunikasi peribadi, penggunaannya juga tidak semestinya dianggap satu kesalahan besar.

Namun, apabila bentuk bahasa sebegini menjadi kebiasaan, sempadan antara bahasa santai dengan bahasa formal boleh menjadi semakin kabur dan boleh membawa kepada hilanganya identiti sebenar bahasa Melayu.

Kajian terhadap penggunaan bahasa dalam media sosial turut menemukan singkatan. Ini menunjukkan bahawa fenomena singkatan bukan sekadar andaian tentang cara masyarakat berkomunikasi di rangkaian sosial.

Bentuk tersebut benar-benar dapat diperhatikan dalam penggunaan bahasa di media sosial secara meluas tanpa rasa bersalah.

Lebih membimbangkan apabila tabiat ini dibawa ke dalam penulisan akademik. Pelajar mungkin mengetahui bahawa “sbb” tidak sesuai digunakan dalam esei, tetapi pengaruh komunikasi digital yang berterusan boleh menyebabkan mereka semakin kurang peka terhadap ejaan, struktur ayat dan pemilihan kata yang tepat.

TIKTOK
Kini Tik Tok menjadi satu lagi media sosial yang sangat popular dalam kalangan masyarakat kita terutamanya golongan muda-mudi. Sesuatu perkataan atau frasa boleh menjadi tular dalam tempoh yang sangat singkat.

Apabila pempengaruh mengulang sesuatu ungkapan, pengikut mula meniru dan akhirnya ungkapan tersebut meresap ke dalam komunikasi harian.

Sebahagian istilah mereka digunakan kerana dianggap lebih ringkas atau lebih tepat menggambarkan emosi tertentu. Ada juga yang digunakan kerana sedang popular. Lama-kelamaan, perkataan tersebut menjadi begitu biasa sehingga penutur mungkin mengambil masa untuk mencari padanan kosa kota atau frasa bahasa Melayu yang sesuai dalam masa yang singkat.

Kajian pengkaji bahasa terhadap frasa tular di TikTok turut menemukan beberapa bentuk kerancuan bahasa, termasuk percampuran kod dan kesalahan tatabahasa. Kajian juga turut mendedahkan peranan pempengaruh sebagai model yang boleh mempengaruhi cara masyarakat menggunakan bahasa.

Ini membawa kepada satu persoalan: Jika sesuatu bahasa yang digunakan berulang kali di media sosial akhirnya ditiru oleh ribuan pengguna setia, siapakah sebenarnya yang sedang “mengajar” bahasa kepada generasi muda hari ini? Guru di dalam kelas atau pempengaruh di skrin telefon?

PENCEMARAN BAHASA DI TEMPAT AWAM
Isu penggunaan bahasa tidak terhad kepada media sosial. Kita juga boleh melihatnya pada papan tanda, kain rentang, poster, menu dan iklan elektronik. Kini media ini menjadi suatu kemestian sama ada kepada pengusaha kecil mahupun syarikat gergasi.

Iklan jualan murah, promosi hartanah, pra tontonan filem baharu menjadi jambatan penghubung antara pengguna dan penyedia perkhidmatan.

Penggunaan bahasa asing pada papan tanda bukan dengan sendirinya bermaksud bahasa itu salah. Persoalan yang lebih penting ialah kedudukan dan kualiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam ruang awam.

Perkara ini bukan isu kecil sehingga hanya menjadi perhatian ahli bahasa.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan perkhidmatan DBP Sah Bahasa bagi pengesahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan, iklan, penamaan dan dokumen. DBP turut menjalankan program Pantau Tegur Bahasa yang menggalakkan masyarakat mengesan kesalahan bahasa pada papan tanda dan papan iklan.

Adakah tindakan hanya daripada pihak DBP dan pihak berkuasa tempatan dalam mengesan dan memperbetulkan kesalahan bahasa, memadai? Sudah tentunya tidak. Setiap warga Malaysia harus berganding bahu dalam menegur pencemaran bahasa ini tanpa was-was.

SALAH GENERASI MUDA?
Tidak adil jika semua kesalahan diletakkan pada bahu generasi muda. Bahasa berubah. Generasi terdahulu juga meminjam perkataan daripada bahasa lain.

Bahasa Melayu sendiri berkembang melalui hubungan dengan bahasa Sanskrit, Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris. Oleh itu, peminjaman kata bukan sesuatu yang luar biasa dalam perkembangan sesebuah bahasa.

Dalam masyarakat berbilang bahasa seperti Malaysia, seseorang mungkin bertutur dalam bahasa Melayu dengan seorang rakan, berbahasa Inggeris ketika bekerja dan menggunakan bahasa ibunda bersama keluarga. Kadangkala pertukaran daripada satu bahasa kepada bahasa lain berlaku secara spontan.

Jadi, tidak semua “bahasa rojak” perlu dihukum. Yang lebih penting ialah kesedaran konteks.

Yang pertama ialah komunikasi sosial yang santai. Yang kedua menunjukkan kelemahan dalam menyesuaikan laras bahasa mengikut konteks rasmi.

Inilah perkara yang perlu kita ajarkan kepada generasi muda: Bukan sekadar “jangan guna bahasa rojak”, tetapi tahu bila bahasa santai boleh digunakan dan bila bahasa Melayu standard perlu digunakan.

TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Tanggungjawab memelihara bahasa tidak boleh diletakkan pada DBP semata-mata. Guru memainkan peranan. Pensyarah memainkan peranan. Media memainkan peranan.

Pempengaruh juga memainkan peranan. Ibu bapa turut mempunyai pengaruh. Namun, pengguna bahasa sendiri mempunyai tanggungjawab yang paling besar.

Tidak bermaksud kita perlu menjadi polis bahasa dalam setiap perbualan. Bahasa yang terlalu dikawal juga boleh kehilangan sifat semula jadinya.

Apa yang diperlukan ialah kesedaran bahawa pilihan perkataan yang kita gunakan setiap hari akhirnya membentuk kebiasaan bahasa masyarakat.

BAHASA KITA
Pencemaran bahasa Melayu bukan sekadar persoalan salah ejaan atau penggunaan bahasa Inggeris. Isunya lebih besar, iaitu sejauh mana kita masih yakin bahawa bahasa Melayu mampu membawa ilmu, pemikiran, emosi dan identiti masyarakat moden.

Kita boleh menggunakan pelbagai jenis media sosial. Kita boleh belajar bahasa Inggeris. Kita boleh mengikuti perkembangan teknologi dan berkomunikasi dengan dunia. Tetapi apabila tiba masanya untuk menggunakan bahasa Melayu, gunakanlah bahasa itu dengan yakin.

Kerana bahasa yang terus hidup bukan sekadar bahasa yang termaktub dalam perlembagaan atau dicetak dalam buku teks. Bahasa yang benar-benar hidup ialah bahasa yang masih dipilih, digunakan dan dihargai oleh masyarakatnya sendiri.

Ayuh, sebagai rakyat Malaysia yang mencintakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kita bergabung tenaga tanpa mengira bangsa dan umur dalam mencari wadah untuk memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa tersohor di negara kita dan di serata dunia.

Usaha yang berterusan dan berwawasan pastinya akan menjadikan apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai suatu kenyataan dan bukannya mimpi atau sekadar bingkisan atas kertas. – UTUSAN

T. Elansegaran ialah pensyarah bahasa Inggeris, Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial, Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini