MUKADIMAH
DI sebalik isu yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), daripada isu pemecatan, isu kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga isu sebilangan ahlinya keluar parti, namun masih ada pemimpin dan ahlinya yang kekal setia menyokong parti itu.
Malah, ada bekas ahlinya yang mahu menyertai mereka semula.
Ini yang dilihat sendiri oleh SITI FARAH ABU HASSAN sejak beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Srikandi Bersatu pada Mac lalu, yang telah menjadi ahli sejak parti itu ditubuhkan 10 tahun lalu.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON ketika bertemu dengan beliau baru-baru ini.
UTUSAN: Sudah berapa lama puan aktif dengan Bersatu?
SITI FARAH: Selepas wujudnya Bersatu pada 2016, saya sertai Bersatu dan saya antara ahli awal Bersatu pada 2016. Saya kemudian dilantik sebagai penyelaras untuk kawasan Ampang. Jadi, saya rekrut ahli, masa itu kita buka meja dekat pasar malam, cari ahli sebab masa itu parti baharu, sampailah tertubuhnya Bersatu peringkat bahagian, sehinggalah sekarang saya bersama Srikandi Bersatu.
Namun, selepas 10 tahun, parti ini dilanda pelbagai isu sehingga ramai ahli yang keluar parti. Adakah Bersatu sedang dilanda krisis ketika ini?
Parti Bersatu ini walaupun baru 10 tahun tapi berjaya melahirkan dua orang Perdana Menteri, yang ketujuh dan kelapan, betul? Jadi, walaupun parti baharu, hebatlah juga, orang lain nak kena tunggu 25 tahun, 40 tahun baru nak jadi kerajaan, baru nak jadi Perdana Menteri.
Bukan sesuatu yang mengejutkan (ahli keluar parti). Saya tengok perjalanan Bersatu daripada mula sampai sekarang banyak yang keluar (parti), lepas itu ada yang kena buang (pecat). Lepas itu, ada sekarang yang nak masuk balik.
Yang masa kena buang masa itu, lepas itu nak masuk balik pun ada juga.
Kenapa ada yang nak masuk balik Bersatu?
Sebab, kita kena fikir macam ini. Kita masuk parti baharu sebab kita nak cari kebenaran. Masa itu, isu dia 1MDB. Jadi, logiklah kita pindah daripada parti lama ke parti baharu.
Jadi, sekarang ini kalau saya nak pergi ke parti mana contohnya, apa saya punya perjuangannya, sebab apa, sebab tidak suka orang itu ke, tidak suka orang ini ke dan sebagainya. Mesti ada matlamat apa yang kita nak perjuangkan sebenarnya.

Ada beberapa perubahan di peringkat kepimpinan parti termasuk Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi. Bagaimana dengan kepimpinan beliau sejak dilantik sebagai pemangku Ketua Srikandi Bersatu?
Datuk Nolee Ashilin baru mengambil alih kepimpinan Srikandi pada bulan Mac jadi kalau kita ikut tempoh itu, tidak sampai enam bulan dan lepas itu ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ada PRN Sembilan, dengan macam-macam segala isu yang berlaku tapi macam mana pun saya percaya dengan kepimpinan beliau.
Beliau adalah seorang pemimpin yang akan memimpin Srikandi ke peringkat yang lebih baik dan saya percaya atas kepimpinan beliau dan bagi beliau masa sebab sekarang ini baru enam bulan dan insya-Allah ke hadapan akan jadi yang lebih baik.
Ramai yang mengata macam-macam terutama mengenai hala tuju dan masa depan Bersatu, adakah benar Bersatu sudah hilang sokongan?
Saya pun rasa orang cakap macam-macam pasal Bersatu tapi yang datang jumpa saya, “Oh kita nak masuk baliklah Bersatu”, itu yang kena buang zaman dulu.
Dia kata nak masuk baliklah Bersatu, macam mana ini. Itu yang saya pelik. Orang cakap macam-macam tapi yang jumpa saya kata nak masuk balik.
Soal kedudukan Bersatu dalam PN, adakah parti ini akan terus kekal dalam PN buat masa ini?
Setakat ini Bersatu masih lagi dalam PN dan belum ada apa-apa lagi yang diputuskan.
Apa juga tindakan, ke mana hala tuju Bersatu, kita bergantung kepada pucuk pimpinan, cuma tugas saya sebagai penerangan adalah untuk menerangkan kepada ahli ke mana hala tuju dan sebagainya.
Kita sebagai ahli Srikandi, kita wanita, kita setia dengan pujuk pimpinan, apa juga keputusan, kita ikut.
Macam mana pula dengan pendirian Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)? Adakah bertanding secara solo atau sebaliknya? Kalau tidak bertanding solo, adakah akan terus bertanding dibawah logo PN atau mungkin bekerjasama dengan pakatan lain?
Kita baru adakan pemukiman dengan Srikandi dan kita bawa barisan exco jumpa dengan presiden, naib presiden dan setiausaha agung. Jadi, kita semua sebulat suara bersetuju yang Bersatu tidak akan pergi solo.
Jajaran mana semua itu, kita serah kepada pucuk pimpinan. Tapi yang semua boleh setuju, satu titik persamaan, kita tidak pergi solo. Itu sahaja. – UTUSAN










