Ubah sistem dalam pelantikan hakim?

Ubah sistem dalam pelantikan hakim?

DALAM sistem demokrasi berperlembagaan, setiap institusi termasuk kehakiman tertakluk kepada prinsip akauntabiliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN yang disuarakan oleh bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, agar satu bentuk tindakan tegas diambil terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, adalah satu seruan yang wajar diberikan perhatian serius.

Walaupun dari sudut idealisme ia mungkin dibingkai atas nama kebebasan kehakiman, realitinya ucapan Tun Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel di Malta supaya peranan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman dihapuskan:
1. Tidak diasaskan kepada mana-mana kajian yang diumumkan secara rasmi oleh mana-mana badan yang berwibawa.
2. Tidak mewakili suara jemaah kehakiman secara kolektif.
3. Mengabaikan semangat Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan kuasa prerogatif Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 122B.

Benarlah kata Datuk Seri Mohamed Nazri, “seorang berprofil tinggi dalam negara seperti beliau seharusnya bercakap berdasarkan fakta semata-mata”. Seorang Ketua Hakim Negara sepatutnya bercakap dengan berlandaskan fakta-fakta yang kukuh seperti mana yang sepatutnya dilakukan dalam memberikan apa-apa keputusan penghakiman, perlu ada rujukan kepada kes-kes tertentu, petikan-petikan tertentu dan tarikh-tarikh tertentu.

Ucapan Tun Tengku Maimun ini tidak bertanggungjawab kerana tidak dinyatakan cadangan ini datang dari siapa dan apa asas yang memerlukan pindaan kepada JACA 2009 dan Perlembagaan Persekutuan ini dibuat.

Sebagai penjawat awam tertinggi dalam institusi kehakiman, Ketua Hakim Negara juga bukan sahaja bertanggungjawab dalam aspek penghakiman, tetapi juga mewakili wajah institusi itu kepada negara dan dunia luar.

Maka apabila kenyataan bersifat kontroversi dan sensitif dikeluarkan oleh beliau dalam forum antarabangsa, yang secara tersirat menuduh campur tangan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim, ia bukan sahaja memberi persepsi negatif kepada rakyat tempatan, malah mencemarkan imej negara di mata dunia.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kenyataan ini dibuat di pentas luar negara, yang memberi ruang terbuka kepada pengkritik antarabangsa untuk mempersoalkan sistem kehakiman dan pentadbiran Malaysia, seolah-olah negara ini gagal menegakkan prinsip pengasingan kuasa. Ini merupakan satu bentuk pembukaan pekung di dada yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin institusi tertinggi negara.

Masyarakat sering dipesongkan dengan fahaman bahawa badan kehakiman adalah “kebal” daripada sebarang bentuk semakan awam. Walhal dalam sistem demokrasi berperlembagaan, setiap institusi termasuk kehakiman tertakluk kepada prinsip akauntabiliti, lebih-lebih lagi apabila kenyataan-kenyataan yang dibuat berpotensi menjejaskan hubungan antara badan eksekutif dan kehakiman.

Sungguhpun kehakiman harus bebas daripada campur tangan politik, namun ia juga tidak boleh mengusulkan satu struktur baharu yang mengenepikan sepenuhnya mandat rakyat iaitu melalui Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Sekiranya seorang Ketua Hakim secara terbuka mencadangkan sistem yang akan menyingkirkan elemen semak dan imbang yang ditetapkan dalam Perlembagaan, maka ini bukan reformasi, ini pemberontakan terhadap susunan asas Perlembagaan itu sendiri.

Justeru itu, tindakan menegur atau menyemak kenyataan Tun Tengku Maimun bukanlah soal menyerang institusi kehakiman, tetapi mempertahankan maruah negara. Ia juga penting untuk menjaga semangat saling hormat antara cabang-cabang utama negara: Eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Jika Ketua Hakim Negara sendiri tidak menjaga disiplin ucapannya dalam forum antarabangsa, bagaimana rakyat boleh meletakkan keyakinan penuh terhadap neutraliti institusi kehakiman?

Kita perlu mengingatkan semula bahawa kebebasan tanpa akauntabiliti hanyalah lesen untuk melampaui batas.

Dalam hal ini, saya setuju dengan kenyataan Mohamed Nazri bahawa “ucapan Tun Tengku Maimun juga satu bentuk campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa, iaitu cabang kehakiman mencampuri urusan legislatif dan eksekutif kerajaan Malaysia”.

Beliau seharusnya sedar bahawa fungsi kehakiman ialah menginterpretasi undang-undang yang digubal, diluluskan dan dilaksanakan oleh legislatif dan eksekutif sahaja. Bila kehakiman bercakap mengenai urusan menggubal undang-undang maka ini merupakan satu pencerobohan nyata kepada bidang kuasa legislatif dan eksekutif.

Dalam satu artikelnya bertajuk No Judge is a Parliament pada 15 Jun 2017, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, pernah menulis mengenai kewajiban semua cabang kerajaan untuk mengikuti sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan melainkan kita mahu beralih kepada satu sistem alternatif seperti dictatorship of the judges.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan waktu itu yang memperkatakan mengenai kuasa mahkamah untuk menjadikan tidak sah mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen yang dikatakan bercanggah dengan struktur asas perlembagaan.

Tanya Tun Abdul Hamid: “Bukankah itu merupakan satu bentuk penulisan semula atau pindaan kepada Perlembagaan?

Bukankah itu menceroboh bidang kuasa legislatif atau campur tangan kehakiman terhadap fungsi legislatif? Dari manakah para hakim memperoleh kuasa untuk berbuat demikian?”

Samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh Tun Tengku Maimun sekarang. Mencadangkan atau menyokong cadangan supaya JACA 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim adalah satu bentuk pencerobohan nyata kepada bidang kuasa legislatif dan eksekutif.

Mohamed Nazri hanya menyuarakan apa yang ramai dalam kalangan rakyat dan ahli Parlimen fikirkan tetapi tidak berani lafazkan bahawa seorang Ketua Hakim Negara juga mesti bertanggungjawab atas kata-katanya dan tidak boleh berselindung di sebalik kebebasan institusi untuk menyebar naratif yang mencalar kredibiliti negara.

Sama ada tindakan itu berbentuk teguran rasmi, siasatan dalaman atau sekurang-kurangnya peringatan secara berprosedur, ia perlu dilakukan demi menjaga kehormatan institusi dan negara.

Malaysia bukan negara yang gagal dalam pelantikan hakim.

Kita sudah ada sistem yang walaupun mungkin tidak sempurna tetapi mampu berfungsi dengan baik selama ini.

Maka, adalah tidak bijaksana untuk pemimpin kehakiman sendiri mencadangkan pembatalan salah satu elemen penting sistem tersebut. – UTUSAN

TAN Sri Mohamed Apandi Ali adalah bekas Peguam Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya