BARU-BARU ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya mengumumkan tarif tindak balas kepada negara-negara dagangannya. Semua negara yang berdagang dengan AS, kecuali Mexico dan Kanada yang mengadakan perjanjian perdagangan bebas Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA) telah dikenakan tarif baharu.
Malaysia juga tidak terkecuali melalui pengumuman 24 peratus tarif tindak balas yang diuar-uarkan melalui sidang ucapannya di Rumah putih pada 2 April yang lalu.
Penting untuk kita cuba memahami isu ini dari kaca mata ilmu sains ekonomi antarabangsa dan politik sebelum terus menghukum.
Pertamanya, kita harus ketahui yang pengumuman itu sudah lama menjadi misi utama kepimpinan Trump sejak pelantikan kali pertamanya sebagai presiden pada 2017. Trump berhasrat mahu mengurangkan defisit perdagangan dengan negara-negara dagangannya yang semakin melebar.
Defisit perdagangan bermaksud jumlah nilai import yang lebih besar berbanding jumlah eksport. Lebihan pula apabila jumlah eksport melebihi import. Kerana itu, dengan menaikkan tarif kepada barangan import lain bakal mengurangkan jumlah import kepada AS, seterusnya mengurangkan defisit perdagangan. Itulah hasrat Trump.
Keduanya, tarif tindak-balas yang dikenakan kepada Malaysia sebanyak 24 peratus adalah hasil kiraan dakwaan jumlah ‘tarif’ yang katanya Malaysia terapkan kepada AS. Formula ini adalah hasil ciptaan penyelidik kepimpinan Trump meraih beberapa kritikan.
Penyelidik dari Times New York umpamanya mendedahkan yang formula tersebut adalah mengguna pakai perkiraan dari jumlah defisit yang dibahagi dengan jumlah import, lalu kemudiannya dibahagi dua.
Misalnya, pada 2024, AS merekodkan defisit perdagangan dengan Malaysia sebanyak AS$24.8 billion (RM110 bilion) dari jumlah import iaitu AS$52.5 bilion (RM233 bilion). Apabila dibahagikan dan disekalikan dengan 100, peratusan tersebut adalah 47.2 peratus, dan seterusnya jika dibahagikan dua, maka dapatlah sekitar 24 peratus seperti yang diumumkan Trump.
China pula dikenakan sebanyak 34 peratus dan Thailand 36 peratus.
Ketiganya, melalui perkiraan ini, maka pembaca perlu faham yang perkiraan tarif tindak balas tersebut tidaklah menggambarkan jumlah tarif yang sebenar. Ia adalah bermaksud jumlah defisit perdagangan ke AS yang dibahagikan dengan jumlah import itu sendiri yang akhirnya diterjemahkan sebagai ‘tarif’ oleh Kerajaan AS. Dengan kata lain, Malaysia berjaya mengeksport ke AS melebihi jumlah dagangan yang negara ini import dari AS. Ini adalah sebuah kejayaan kepada negara kita sendiri yang perlu kita banggakan.
Dakwaan buruk yang mahu merendahkan negara sendiri seperti sesetengah pihak bahawa tarif tinggi akan dikenakan kepada negara yang berekonomi lemah adalah amat tidak berasas.
China, Switzerland, Jepun dan Korea kesemuanya dikenakan tarif tindak balas yang lebih tinggi atau sama dengan Malaysia disebabkan jumlah eksport mereka kepada AS (bermakna import bagi AS) adalah jauh lagi tinggi.
Keempatnya, Malaysia adalah negara statusnya masih membangun. Perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita memaparkan kita adalah hampir, tetapi masih belum lagi mencapai negara membangun oleh Bank Dunia.
Ini bermaksud, Malaysia adalah sebuah negara kecil di mata negara maju yang bersaiz gergasi seperti AS. Disebabkan itu, Malaysia harus bijak dalam melindungi ekonomi tempatannya yang tersendiri.
Kelimanya, Malaysia, seperti yang termaktub dalam perjanjian Badan Perdagangan Bebas (WTO) mempunyai hak untuk melindungi ekonomi tempatannya terutamanya apabila berdepan dengan negara dengan ekonomi yang lebih besar seperti AS.
Sekiranya Malaysia mahu mewujudkan tarif atau mekanisme perlindungan ekonomi tempatan tatkala berdepan dengan negara yang lebih maju, ia merupakan hak negara ini yang termaktub dalam WTO.
Oleh itu, kerajaan Malaysia tidak perlu hanya mengikut propaganda politik negara asing, apatah lagi didatangkan dengan kos menggadai kelestarian ekonomi tempatan sendiri di masa hadapan.
Keenam ialah hakikatnya, dalam perbahasan ilmu Politik Ekonomi Antarabangsa, banyak sejarawan ekonomi menemui yang fasa ekonomi global sama ada memihak kepada pasaran bebas (menghampiri sifar tarif) atau fasa melindungi akan sentiasa bertukar ganti. Ini bermaksud, apa yang dilakukan Trump bukan perkara baharu. Sekitar awal pasca perang dunia kedua, kebanyakan negara-negara maju juga mengamalkan dasar perlindungan untuk menjadikan industri tempatan mereka dilindungi daripada persaingan antarabangsa.
Hanya setelah itu, ekonomi dunia mula bergerak ke arah mempromosikan perdagangan bebas sifar tarif selepas negara-negara maju ini stabil. Maka, jika negara tersebut belum lagi stabil dan maju, negara-negara ini perlu bijak untuk tidak terus mengamalkan dasar-dasar negara maju yang mahukan sifar tarif, atau akibatnya, ia hanya memakan diri.
BERFIKIR CARA AHLI POLITIK
Ketujuh, penting untuk difahami yang sebagai ahli politik, Trump tidak akan mahu mengaplikasikan tarif ini untuk selama-lamanya.
Sebagai ahli politik, beliau sudah tentu tidak mahu rakyatnya kekal merana apabila kemelesetan ekonomi selepas hasil perang tarif perdagangan dengan negara-negara lain.
Apabila perang tarif ini diumumkan, ekonomi global dunia akan bergerak ke arah kemelesetan buat sementara waktu disebabkan negara lain juga bakal mengurangkan eksport mereka ke AS. Kemelesetan ini akan berlaku dalam jangka masa yang pendek.
Tetapi, pada tempoh jangka masa panjang, Malaysia bakal menikmati limpahan pelaburan luar negara yang baharu, menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan menggantikan AS.
Buktinya, negara ini menerima banyak kunjungan pelaburan asing baharu berstatus gergasi seperti byte Dance, Amazon, Google, Oracle, Microsoft, Tesla dan banyak lagi hasil perang perdagangan antara AS-China. Ia diperakui sendiri oleh Badan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) apabila negara ini merekodkan pelaburan masuk setinggi RM378.5 bilion, iaitu jumlah nilai yang tertinggi negara ini pernah merekodkan.
Akhir sekali, kerajaan harus bijak dalam menangani isu ini agar ia membawa pulangan yang baik untuk negara.
Ada tiga perkara utama yang kerajaan perlu beri keputusan sama ada mahu mewujudkan tarif tindak balas dalam memastikan industri tempatan mampu bersaing dengan adil dengan industri-industri negara maju. Jika hanya mengikuti hasrat AS dalam mewujudkan sifar tarif, kemungkinan industri tempatan kita akan mati kerana mereka adalah industri yang masih baharu bertapak.
Kita juga perlu maklum akan berlakunya kemelesetan ekonomi jangka masa pendek. Jadi, persediaan negara kita dalam menghadapi perkara ini adalah penting.
Dan terakhir, untuk tempoh jangka masa panjang, banyak negara akan mencari Malaysia sebagai destinasi pelaburan baharu kerana kestabilan ekonomi, politik dan kualiti pekerja.-UTUSAN
Namun, persoalannya, adakah kita sudah betul-betul bersedia?
PENULIS ialah penyelidik, pensyarah ekonomi dan pelajar doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).