PSM parti yang tanya soalan penting

PSM parti yang tanya soalan penting

PSM
Dr. Jeyakumar Devaraj
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adanya banyak NGO dan kumpulan masyarakat sivil lain yang mendekati kerajaan untuk memohon pelaksanaan pelbagai skim berkaitan kebajikan rakyat biasa.

Dalam dua tahun yang lalu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) sendiri telah mengemukakan syor-syor untuk:

  • Melancarkan skim pencen warga emas (RM500 sebulan untuk semua yang berumur 65 tahun ke atas yang tidak menikmati sebarang pencen);
  • Menambahkan peruntukan Kementerian Kesihatan ke 5% KDNK (daripada 2.3% KDNK pada masa ini) supaya kualiti rawatan yang diberikan kepada rakyat biasa dapat ditingkatkan;
  • Mengambil alih penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah kerana banyak antaranya tidak dapat dijaga dengan sempurna oleh jawatankuasa penduduk.

Biasanya jawapan yang kami dan juga kumpulan lain terima daripada pihak kerajaan adalah, “Cadangan anda adalah baik, tetapi malangnya, kerajaan tidak mampu melaksanakannya pada masa terdekat kerana wujudnya defisit dalam belanjawan kerajaan sebanyak RM80 bilion, dan hutang kerajaan telah bertambah ke RM1,200 bilion pada takat ini.

Hutang ini memerlukan pembayaran RM56 bilion kepada pemegang bon kerajaan untuk tahun 2025.”

Respon sebegini menggagalkan usaha kumpulan-kumpulan yang ingin membawa skim dan program pro-rakyat. Mereka tidak tahu bagaimana membalas alasan yang diberikan bahawa kerajaan berhutang besar pada masa ini, dan oleh kerana itu, tidak boleh mempertimbangkan syor-syor yang dikemukakan.

PSM telah mengkaji perkara ini secara mendalam. Pada bulan Jun 2023, kami telah menganjurkan satu sesi perbincangan meja bulat selama dua hari, di mana isu hasil kerajaan dibincangkan bersama dengan 25 buah NGO dan pakar-pakar akademik. Hasil daripada kajian dan perbincangan ini, PSM mengemukakan tiga soalan kepada kerajaan:

  1. Mengapakah dalam situasi di mana KDNK Malaysia telah meningkat 24 kali ganda (dalam nilai yang benar) dalam tempoh 50 tahun yang lalu, nisbah pendapatan kerajaan terhadap KDNK telah menyusut daripada 30% pada tahun 1980-an kepada hanya 16% dalam Belanjawan 2025? Apakah sebabnya perkara ini berlaku?
  2. Adakah persaingan antara negara-negara ASEAN untuk pelabur asing punca utama bagi masalah penyusutan hasil kerajaan? Ini kerana semua negara ASEAN telah mengurangkan cukai korporat masing-masing dalam tempoh 35 tahun yang lalu dengan harapan menarik lebih banyak pelabur asing. Di Malaysia, kerajaan telah mengurangkan cukai korporat daripada 40% keuntungan syarikat pada tahun 1980-an kepada hanya 24% sekarang. Negara Thailand telah mengurangkan kadar cukai korporatnya kepada 20% keuntungan syarikat dan Singapura pula kepada 17%.
  3. Memandangkan hakikat bahawa cukai korporat merupakan sumber hasil kerajaan terbesar, mengapakah Kerajaan Malaysia belum mengajak negara-negara jiran kita di ASEAN untuk duduk membincangkan isu ini? Apakah caranya perlumbaan ke paras terbawah dalam kadar cukai korporat dapat dihentikan?

Bukannya hasrat PSM untuk mencabut balik segala keuntungan yang diperoleh pihak korporat. Kami hanya mahu perlumbaan ke paras terbawah ini, yang merugikan rakyat semua negara di ASEAN, dihentikan dan kadar cukai korporat dinaikkan ke satu paras yang munasabah. Pertumbuhan KDNK sebanyak 24 kali ganda itu tidak berlaku secara sendiri.

Usaha dan titik peluh pekerja, petani dan peniaga kita memang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK kita. Adalah munasabah jika sebahagian daripada kekayaan ini digunakan untuk memperkukuhkan skim-skim perlindungan sosial seperti pencen warga emas dan untuk meningkatkan kualiti rawatan di hospital-hospital awam kita.

Malangnya, di Malaysia pada masa ini, parti-parti politik arus perdana – Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) – tidak mempertimbangkan soalan-soalan seperti yang dihuraikan di atas. Mereka lebih cenderung kepada menggunakan pendekatan memindahkan beban kewangan kepada rakyat biasa dengan syor membawa balik cukai GST, melaksanakan skim berbayar penuh di hospital-hospital kerajaan (digelar sebagai Rakan KKM sekarang) dan meningkatkan yuran rawatan di hospital awam. Inilah antara sebabnya kehadiran seorang ADUN PSM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan banyak memanfaatkan rakyat biasa di Perak dan juga di seluruh negara kita. Sekurang-kurangnya, soalan-soalan penting berkaitan isu-isu rakyat dan pengagihan kekayaan negara akan dibentang dan dibincang!

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional
Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya