Malaysia–China berkongsi sejarah, masa hadapan

Malaysia–China berkongsi sejarah, masa hadapan

MALAYSIA dan China bukan sahaja berkongsi sejarah tetapi juga masa hadapan dalam membina dunia serantau yang lebih stabil, makmur dan adil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia pada 15 hingga 17 April ini bakal menjadi detik penting yang menandakan satu lagi fasa baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-China.

Dalam dunia yang sedang menghadapi perubahan geopolitik pesat serta cabaran global seperti ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan pasaran, lawatan ini tidak hanya bersifat simbolik, tetapi menjadi manifestasi hubungan yang mencapai ‘tahap kematangan tinggi’, sebagaimana dinyatakan Presiden Xi sendiri.

Hubungan kedua-dua negara berakar umbi sejak abad ke-15 melalui misi diplomatik Laksamana Zheng He ke Kesultanan Melaka. Hari ini, warisan sejarah itu diterjemahkan dalam bentuk kerjasama moden yang melibatkan pelbagai bidang, dari perdagangan, pelaburan hinggalah teknologi dan pertukaran budaya. Dalam konteks ini, lawatan Xi merupakan platform strategik untuk memperkukuh tiga tonggak utama yang menjadi asas kepada hubungan Malaysia-China iaitu kepercayaan politik, kerjasama ekonomi dan hubungan antara rakyat.

KEPERCAYAAN POLITIK YANG KUKUH
Kepercayaan politik antara Malaysia dan China berada pada tahap tertinggi dalam sejarah hubungan dua hala. Kedua-dua negara berkongsi prinsip asas dalam hubungan antarabangsa termasuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, penyelesaian pertikaian secara aman serta komitmen terhadap kestabilan serantau dan global. Malaysia yang mengamalkan dasar berkecuali dan diplomasi pintar, memainkan peranan sebagai jambatan penting dalam menghubungkan China dengan ASEAN serta menjadi suara sederhana dalam isu-isu geopolitik Indo-Pasifik.

Dalam lawatan kali ini, Xi dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan mengadakan rundingan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pertemuan ini dijangka menyentuh hal-hal strategik seperti keselamatan serantau, penyelarasan dasar pembangunan dan peranan ASEAN sebagai kuasa ekonomi kolektif. Keakraban pemimpin kedua-dua negara menunjukkan keserasian dasar luar yang memberi keyakinan terhadap ketelusan dan kelestarian hubungan jangka panjang.

Lebih penting, hubungan ini menjadi semakin signifikan selepas pelaksanaan dasar tarif agresif oleh Amerika Syarikat (AS), yang mengganggu rantaian bekalan global dan menimbulkan ketegangan dalam perdagangan antarabangsa. Dalam konteks ini, China mengambil langkah strategik untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara membangun termasuk Malaysia sebagai rakan dagang alternatif dan sahabat geopolitik yang boleh dipercayai.

KERJASAMA EKONOMI
China mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama lebih 14 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan dua hala melonjak kepada AS$212.05 bilion (RM1.6 trilion) pada 2024. Hubungan perdagangan ini bukan sekadar mencerminkan angka yang mengagumkan, tetapi juga melambangkan kebergantungan ekonomi yang saling melengkapi, khususnya dalam sektor utama seperti elektronik, semikonduktor, minyak sawit, perkilangan dan bahan mentah industri.

Namun, di sebalik pencapaian ini, Malaysia masih mencatatkan defisit dagangan hampir RM66 bilion dengan China pada 2023. Realiti ini membuka ruang besar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih strategik dan seimbang, terutamanya dalam memperluas eksport produk bernilai tambah tinggi dari Malaysia. Ini termasuk teknologi hijau, produk halal premium serta komponen kenderaan elektrik (EV) – sektor-sektor masa depan yang sangat relevan dengan agenda pembangunan mampan kedua-dua negara.

Antara projek utama yang menjadi tumpuan dalam kerjasama ekonomi Malaysia-China termasuklah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dibiayai China sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Selain itu, pembangunan Malaysia-China melalui Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) turut menjadi contoh nyata bagaimana kedua-dua negara berganding bahu dalam memperkukuh kesalinghubungan dan integrasi ekonomi serantau.

Lawatan ini juga hadir dalam kerangka Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus menjadikan negara ini pemimpin perundingan dalam kerjasama serantau bersama China. Ini membuka peluang kepada pembentukan dasar ekonomi serantau yang lebih terbuka, saksama dan lestari.

PENGHUBUNG BUDAYA DAN PERPADUAN SERANTAU
Salah satu kekuatan unik dalam hubungan Malaysia-China ialah hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara. Pertukaran pelajar, kerjasama akademik, pelancongan dan hubungan komuniti memainkan peranan besar dalam merapatkan jurang budaya dan membina persefahaman yang tulen.

Setakat 2024, lebih lima juta pelancong China mengunjungi Malaysia, meningkat sebanyak 136.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dasar pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong China mempercepatkan pertumbuhan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Malaysia menyasarkan kedatangan lima juta pelancong dari China setiap tahun dan lawatan Xi dijangka merangsang lagi pencapaian sasaran ini, termasuk dalam bidang pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan pelancongan ekologi.

Selain itu, hubungan budaya terus disemarakkan melalui program pertukaran budaya, pertunjukan seni, pameran ekonomi halal dan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi. Ramai pelajar Malaysia kini melanjutkan pengajian di universiti-universiti ternama China, manakala institusi seperti Xiamen University Malaysia menjadi bukti keyakinan China terhadap potensi Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

DIPLOMASI PINTAR, PERIKATAN STRATEGIK
Secara keseluruhan, lawatan ini bukan sekadar menandakan babak baharu dalam sejarah diplomatik, tetapi mencerminkan transformasi mendalam hubungan dua hala yang kini ditunjangi oleh kepercayaan politik yang kukuh, kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan serta hubungan antara rakyat yang semakin erat.

Malaysia dan China bukan sahaja berkongsi sejarah tetapi juga berkongsi masa hadapan dalam membina dunia serantau yang lebih stabil, makmur dan adil.

Sebagai negara yang aktif dalam ASEAN dan pemain penting dalam ekonomi dunia Islam, Malaysia memiliki semua kekuatan untuk menjadi rakan strategik utama China di Asia Tenggara.

Yang penting kini ialah memastikan bahawa hubungan ini terus dibina berasaskan prinsip saling menghormati, saling melengkapi dan berpandukan kepada kepentingan bersama untuk generasi hari ini dan masa hadapan.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya