ARTIKEL terbaharu Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi yang diterbitkan beberapa media merupakan satu pembelaan yang bernas dan bersemangat terhadap ucapan Ketua Hakim Negara di Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta.
Namun, di sebalik keindahan hujahnya, artikel ini mendedahkan satu permasalahan yang lebih mendalam dalam wacana semasa mengenai perlembagaan iaitu kekeliruan antara kebebasan kehakiman dengan aktivisme kehakiman serta andaian segala kritikan terhadap badan kehakiman adalah satu serangan terhadap kedaulatan undang-undang.
Artikel ini tidak bertujuan untuk mencemarkan nama baik Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang sumbangannya kepada badan kehakiman diakui ramai. Sebaliknya, ia menyorot implikasi institusi yang membimbangkan susulan ucapannya, di mana ia disampaikan serta kesan perlembagaan yang tidak dapat dipertahankan daripada pembaharuan yang kelihatan disokongnya.
1. Mesej yang tepat tetapi disampaikan di forum yang salah
Shad Saleem berhujah Ketua Hakim hanya memberi renungan tentang kebebasan kehakiman dan sejarah perlembagaan. Namun, konteks amat penting. Satu ucapan yang membayangkan peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman perlu dihapuskan. Apabila hujah ini disampaikan di luar negara, kepada khalayak antarabangsa sudah tentu mengundang spekulasi tentang keadaan institusi domestik kita.
Walaupun mungkin merujuk peristiwa tahun 1988, khalayak tidak mempunyai alasan untuk membezakan antara masa lalu dan sekarang melainkan ia dinyatakan secara jelas.
Persepsi meskipun tidak disengajakan adalah eksekutif masih menjadi ancaman kepada kebebasan kehakiman dan struktur Perlembagaan Malaysia memerlukan pembaikan yang diluluskan oleh pihak luar. Ini bukan ‘renungan kehakiman malah menghampiri pelobian institusi (institutional lobbying).
2. Pembaharuan melalui saranan atau tekanan melalui platform?
Hakim boleh menyorot kelemahan dalam undang-undang. Mereka boleh menyeru pembaharuan melalui penghakiman atau ulasan kehakiman yang beralasan. Namun, cadangan Tengku Maimun di Malta bukanlah pemerhatian sambil lalu sebaliknya ia merupakan saranan dasar awam bahawa peranan Perlembagaan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim di bawah Perkara 122B perlu dihapuskan.
Ini melangkaui ulasan neutral. Ia menyokong transformasi struktur yang akan mengubah hubungan antara kehakiman dengan cabang kerajaan lain. Apabila Ketua Hakim yang masih berkhidmat mula mengusulkan pembaharuan institusi secara khusus, terutamanya yang memberi lebih kuasa kepada badan kehakiman sendiri, sempadan antara kebebasan dan aktivisme mula terhapus.
3. Peranan perdana menteri bukan legasi kolonial
Shad Saleem berhujah pembaharuan yang dicadangkan menyerahkan kuasa pelantikan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah perkara biasa di tempat lain. Tetapi Malaysia bukan kertas kosong perlembagaan. Ia adalah reka bentuk perlembagaan. Sistem kita mengandungi prinsip semak dan imbang, termasuk peranan demokratik perdana menteri yang dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
Menghapuskan peranan perdana menteri dalam proses ini bererti menghapuskan satu-satunya suara tidak langsung rakyat dalam pembentukan badan yang mempunyai kuasa pentafsiran yang luas. Ini akan mengukuhkan golongan elit undang-undang yang melantik diri sendiri tanpa kebertanggungjawaban kepada mana-mana institusi awam. Pelantikan kehakiman mesti berasaskan merit tetapi mesti seiring dengan legitimasi.
4. Doktrin struktur asas: Ketegangan yang mendasari
Kebimbangan yang lebih besar bukan hanya siapa yang melantik hakim, tetapi jenis pendekatan perundangan yang dibawa. Kebangkitan semula Doktrin Struktur Asas sejak beberapa tahun kebelakangan ini tanpa asas perlembagaan atau perbahasan Parlimen membolehkan mahkamah membatalkan undang-undang yang diluluskan atas alasan yang kabur dan subjektif.
Shad Saleem tidak menyentuh mengenai perkembangan ini, namun usaha mengasingkan pelantikan kehakiman tidak dapat dipisahkan daripadanya. Jika hakim boleh membatalkan Akta Parlimen dengan menggunakan doktrin yang tidak tertulis dan seterusnya mengawal siapa yang boleh menyertai mereka sebagai hakim, kita berisiko memasuki era yang mana pengkritik di India disebut sebagai ‘kuku besi oleh golongan yang tidak dipilih’ (‘tyranny of the unelected’).
5. Membincangkan kebertanggungjawaban bukanlah serangan
Shad Saleem benar dalam mengingatkan kita tentang trauma tahun 1988 dan kesannya. Namun, tidak semua kritikan terhadap tokoh kehakiman adalah ajakan untuk penguasaan eksekutif. Adalah wajar dan perlu bagi rakyat, peguam dan penggubal undang-undang untuk mempersoalkan sama ada tindakan awam tertentu oleh hakim melampaui batas kesopanan atau sekatan perlembagaan.
Hakim, tidak seperti ahli politik, tidak berkempen atau berbahas di Parlimen. Legitimasi mereka bergantung kepada persepsi ketidakberpihakan. Apabila persepsi itu goyah, bukan kerana penghakiman mereka, tetapi kerana kenyataan luar mahkamah berkaitan pembaharuan perlembagaan yang kontroversi, ia bukanlah kecaman; untuk menyuarakan kebimbangan. Ia adalah kewaspadaan sivik.
BIARLAH RENUNGAN KEKAL SEBAGAI RENUNGAN
Terdapat perbezaan besar antara hakim yang merenung dan hakim yang berkempen. Antara badan kehakiman yang mentafsir dan yang menetapkan peraturan pemerintahannya sendiri.
Ucapan Ketua Hakim Negara mungkin ikhlas. Tetapi implikasinya dan pembelaan oleh Shad Saleem menimbulkan persoalan mendesak sama ada kita sedang menyaksikan kecenderungan ke arah pelampauan kuasa kehakiman yang diselindungkan di sebalik reformasi.-UTUSAN
PENULIS ialah seorang peguam yang bernaung di bawah Pertubuhan Peguam Prihatin Keadilan (CLJ).