JANGAN hari ini roboh, esok pacak balik. Hari ini sita, esok lusa peniaga warga asing ini berniaga semula. Ini bagaikan sudah menjadi perkara biasa apabila setiap kali tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap golongan ini.
Kadang-kadang hairan juga dari mana warga asing ini mendapat keberanian, kedegilan dan kekuatan untuk melawan undang-undang di negara ini? Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak betul-betul tegas? Atau mereka fikir pihak penguat kuasa tidak nampak atau buat-buat tidak nampak?
Menjual minuman secara terang-terangan tanpa lesen di depan bangunan KLCC, tentulah kerja ini memerlukan keberanian luar biasa. Ia kawasan tumpuan ramai, bukan lorong tersorok. Macam mana mereka boleh dengan selamba berniaga di situ?
Ini menimbulkan persoalan, tidak cukupkah bilangan anggota penguat kuasa PBT? Sedangkan warga kota sedia maklum apabila salah letak kenderaan, cepat saja kita dapat saman. Laju mereka buat kerja. Kelajuan ini patut juga ditunjukkan dalam membanteras penjaja warga asing.
Kita juga bukan tidak biasa dengan cerita warga asing di negara ini. Kalau seorang dua sudah bertapak di situ, sebulan dua mereka boleh buat kampung. Macam Belanda dapat tanah. Bila menguasai satu kawasan, mereka juga berniaga dan melakukan macam-macam aktiviti di situ.
Justeru, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan beberapa operasi khas membanteras peniaga warga asing di berapa kawasan di ibu kota, baru-baru ini yang didakwa kebanyakan orang dilakukan selepas tercetusnya kejadian pergaduhan penguat kuasa dengan penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan penjual air mineral di Dataran Merdeka baru-baru ini, ia menerima pendapat pelbagai.
Ramai yang menyambut baik tindakan tersebut, ramai juga menganggapnya ‘bermusim’ dan mengatakan apabila sudah dikecam teruk, baru mahu bertindak?
Untuk bersikap adil, saya ingin menarik perhatian, sebelum kejadian penjual belon itu pun DBKL sudah membuat operasi membanteras penjaja warga asing. DBKL bukan baru hendak bertindak, operasi seperti ini memang ada dilakukan. Mereka ini buat kerja, bukan tidak buat kerja.
Namun pada saya, ia perlulah dilakukan secara konsisten. Kalau konsisten dan selalu turun padang, pasti peniaga warga asing ini sudah serik kena sita dan tidak mengulanginya lagi.
Justeru saya fikir, operasi membanteras penjaja warga asing ini perlu dijadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bulanan dan tahunan pihak penguat kuasa DBKL. Perlu ada sasaran jumlah tertentu setiap bulan untuk membersihkan bandar raya ini daripada penjaja warga asing.
Makna kalau dilakukan dengan lebih kerap, tanpa memilih-milih lokasi tertentu untuk bertindak, penjaja warga asing ini tentu akan ‘letih’ untuk meneruskan kegiatan mereka.
Dalam beberapa operasi baru-baru ini, DBKL menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap barangan perniagaan milik sembilan penjaja warga asing di Jalan Silang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Khoo Teik Ee. Penjaja terbabit menjual pelbagai jenis makanan dan minuman dan melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Pun begitu, ramai yang tidak puas hati. Kenapa kecil saja bilangan peniaga asing yang dikenakan tindakan dalam operasi berkenaan? Bukan ramaikah peniaga warga asing berlegar-legar di Kuala Lumpur ini? Kadang-kadang kita pun mungkin terkeliru, disebabkan terlalu banyak warga asing dalam bandar raya ini, pekerja asing dan penjaja asing tak berlesen pun dianggap sama.
Bagaimanapun, DBKL diharapkan tidak memilih-milih lokasi untuk bertindak. Sebabnya, ia akan memberi persepsi buruk yang dikaitkan pula dengan rasuah. Bila dapat maklumat tertentu daripada orang ramai, bertindaklah.
Pasar Borong Selayang contohnya, perlu sentiasa dibuat pemantauan. Bukan setakat gempur sekali-sekala.
Menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, tiada lesen boleh dikeluarkan kepada mana-mana orang yang bukan warganegara Malaysia dan rakyat tempatan berumur di bawah 18 tahun.
Undang-undang yang berkuatkuasa sejak 2017 ini juga menyebut dalam bahagian 3, peruntukan am, tiada pemegang lesen penjaja boleh mengambil bekerja mana-mana pekerja asing dan mengambil bekerja mana-mana orang di bawah umur 18 tahun.
Timbul persoalan lagi, adakah undang-undang ini masih diguna pakai kerana banyak saja orang yang diberikan lesen mengambil pekerja asing untuk menjalankan operasi jualan.
Adakah lesen itu telah diali babakan oleh penjaja tempatan? Tidak mahu kerja keras, bagilah pada warga asing yang kemudian ‘diangkat’ sebagai rajin cari makan di negara ini. Selepas itu kata orang tempatan dipinggirkan.
Dalam hal ini, DBKL harus bertindak tegas menarik balik lesen dan senaraihitamkan warga tempatan yang menjual lesen mereka pada warga asing.
Dan lebih menarik perhatian dalam operasi DBKL selama beberapa hari ini yang dipaparkan dalam Facebook (FB) mereka, tiada pun kejadian mengasari atau bertindak di luar kemanusiaan seperti dilakukan kepada peniaga tidak berlesen warga tempatan.Boleh saja mereka menjalankan tugas ikut budi bicara dan peraturan. Tidak perlu pun bergaduh dan beremosi. Itu yang menimbulkan kemarahan orang ramai apabila penguat kuasa cuma menunjuk garang dengan rakyat tempatan. Ini sudah tentu menjejaskan imej penguat kuasa walaupun tidak semuanya bersikap begitu.
Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memberitahu saya, tiada kuasa di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan yang pihak penguat kuasa boleh melakukan kekerasan terhadap penjaja tanpa lesen.
“Sekiranya perlu boleh minta bantuan pihak polis untuk menahan seseorang menggunakan kekerasan yang minimum
“Pihak PBT jika melihat berlaku kesalahan menjaja tanpa lesen boleh menyita barangan dan memberikan notis secara serahan diri pada peniaga sahaja. Tidak perlu tangkap peniaga,” terangnya.
Dalam Akta 171 Seksyen 121, Kuasa Menangkap, kata Syed Azimal, hanya pegawai yang diberi kuasa mempunyai kuasa menangkap seseorang yang setaraf pangkatnya dengan pegawai polis. Pegawai polis di bawah Akta Polis bermaksud berpangkat Inspektor ke atas. Oleh itu, bukan semua penguat kuasa ada kuasa menangkap.
Ini adalah cabaran DBKL dalam meningkatkan semula imej mereka yang kini dipandang sinis orang ramai. Sama ada dari segi moral dan persepsi rasuah.
Sepatutnya, segala teguran dan kejian orang ramai dalam kes-kes di luar pertimbangan manusia dijadikan pengajaran, panduan dan maklumat dalam melaksanakan tugas-tugas mewujudkan bandar raya yang benar-benar sejahtera.
DBKL juga tidak perlulah menutup ruang komen di FB mereka bila ada isu panas dan bila agak sudah reda buka semula. Orang ramai tentu mahu menyalurkan aduan melalui FB di mana lokasi-lokasi yang perlu digempur penguat kuasa.
Sebagai agensi yang berurusan dengan orang awam, tidak perlulah ‘koyak’ ketika dihujani kritikan. PBT adalah pihak yang menjalankan kerja-kerja merancang bandar, menguruskan kebersihan bandar, parit, sungai, sisa pepejal, mengenakan cukai-cukai tertentu dan macam-macam lagi.
Kalau tutup ruang komen setiap kali ada kontroversi, ia sudah jadi seperti akaun media sosial milik artis atau selebriti pula. Buat hal sikit, tutup ruang komen. Habis cerita.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia