Wakil rakyat, bersyukurlah, elaun sudah banyak - Utusan Malaysia

Wakil rakyat, bersyukurlah, elaun sudah banyak

Ahli Parlimen turut mendapat elaun kehadiran dalam sidang Dewan Rakyat dan taklimat serta mesyuarat rasmi lain. – Gambar Jabatan Penerangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KITA lalu jalan bertol kena bayar tol, tapi depa dapat elaun tol. Datang mesyuarat saja ‘pung pang pung pang’ cakap merapu pun dapat elaun. Cucuk sana sini bagi rakyat bergaduh, pun dapat elaun. Itu pun ada yang bising gaji tidak cukup?”

Itu antara reaksi rakyat apabila ada pula wakil rakyat mendakwa hidup susah. Gaji tidak cukup. Terpaksa membuat pinjaman bank dan berhutang.

Banyak sebenarnya kalau hendak disebutkan cakap-cakap dan rungutan rakyat tentang tindakan atau perangai ahli politik di negara ini. Tidak kiralah daripada parti pembangkang atau kerajaan. Tak perlu pergi ke kedai kopi atau restoran mamak untuk mendengar cerita rakyat. Tengok saja di media sosial. Sudah cukup.

Lihatlah apabila ada saja wakil rakyat atau ahli politik mengeluarkan kenyataan di media sosial yang bukan-bukan atau bercanggah dengan tindakan yang dijanjikan, ramai yang bagi emoji ketawa atau marah.

Mereka ini tidak dibayar untuk memilih tanda suka, ketawa atau marah. Itu adalah isyarat benar daripada rakyat.

Dan tidak perlu juga mana-mana parti politik membayar berpuluh ribu ringgit untuk melantik organisasi penyelidik membuat tinjauan dan dapatan tentang sokongan rakyat terhadap kerajaan atau parti lawan. Mahu tahu mana kawasan hitam, putih atau kelabu.

Sebabnya, tidak perlu pun menunggu menjelang pilihan raya, kita boleh saksikan trend dalam media sosial, parti mana yang paling banyak dikecam, bersedialah untuk kecundang. Itu adalah suhu bacaannya.

Perlu diingat, disebabkan sindrom penafian bahawa kecaman dan kemarahan rakyat di media sosial tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat keseluruhan inilah yang membuat Barisan Nasional tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Dan kini pula apabila ada wakil rakyat yang menyentuh hal gaji mereka tidak mencukupi dalam menabur bakti kepada rakyat, tentulah ramai yang tidak bersimpati apatah lagi kasihan kerana elaun mereka saja sudah boleh kalahkan gaji pokok.

Kalau rakyat marhaen merungut kerana gaji rendah, selalunya ahli politik meminta rakyat bersyukur atau bersabar. Rakyat diminta melihat keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Tetapi apabila wakil rakyat yang sudah ada macam-macam elaun termasuk elaun pinggan mangkuk bising gaji tidak cukup, cepat saja mahu dicadang, dikaji dan dinaikkan lagi.

Maka apabila Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini memberi penjelasan dalam satu kenyataan bahawa wakil rakyat negara ini mendapat RM30,000 hingga RM40,000 sebulan tentulah ini amat menghairankan betapa ada wakil rakyat yang mengadu gaji tidak cukup.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap ahli parlimen di negara ini layak dibayar elaun tetap RM25,700 sebulan.

Antara elaun dan tuntutan rasmi yang boleh diperoleh seorang ahli parlimen adalah elaun dan tuntutan tugas rasmi dalam negara, elaun hadir persidangan sehari RM400 serta elaun mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)/Jawatankuasa Pilihan Khas RM300 sehari (semasa parlimen tidak bersidang).

Ia turut membabitkan elaun ahli PAC sebanyak RM250 sehari (semasa parlimen bersidang); Elaun mesyuarat RM300 sehari sekiranya hadir ke sesi taklimat rasmi, elaun hidup harian RM100 sehari dan elaun dibayar mengikut kehadiran ke dewan atau perjalanan melebihi 32 kilometer bagi tugas rasmi selain urusan dewan.

Maknanya, bergerak saja mereka bermesyuarat atau berjumpa rakyat, dibayar. Bukan kerja sukarela. Jadi, ada kerja, adalah pelbagai elaun menunggu. Macam mana pula kata tidak cukup?

Mungkin kalau tiada tuntutan, tiada pergerakan, itu bermakna wakil rakyat berkenaan tidak bekerja? Jika diteliti terlalu banyak elaun yang mereka terima yang sepatutnya menjadikan mereka lebih bersyukur dan rajin bekerja.

Hadir ke sesi persidangan dewan Parlimen pun dapat elaun. Itupun ada yang ponteng. Walhal bukan perlu memandu sendiri. Ini menunjukkan apalah sangat jumlah elaun sebanyak itu kepada mereka.Sedangkan bagi rakyat marhaen, elaun yang wakil rakyat terima dalam sehari bersidang dan menghadiri taklimat rasmi itu adalah duit minyak kenderaan mereka atau duit dapur dalam sebulan.

Dalam pada itu, ada juga wakil rakyat yang bekerja biasa-biasa saja. Ada yang membuat laporan berdasarkan laporan pemimpin kawasan atau ketua kampung. Kemudian diangkat ke pihak negeri atau pusat. Tak turun padang pun bertanya khabar penduduk atau masalah. Semuanya dilakukan oleh pembantu dan kemudiannya boleh pula mendabik dada memperjuangkan nasib rakyat?

Sepatutnya keistimewaan yang diperoleh melalui elaun-elaun ini membuatkan mereka memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dengan penuh bersemangat dan bersyukur.

Perdana Menteri sendiri turut menasihatkan setiap ahli parlimen untuk bijak mengurus soal kewangan selain sentiasa memikir dan mengutamakan rakyat yang menerima pendapatan jauh lebih rendah daripada mereka

Ini tentunya berbeza sikap sebelum dilantik menjadi wakil rakyat. Apa sudah jadi dengan cakap-cakap mahu membela nasib rakyat, membantu rakyat dan memperjuangkan kebajikan rakyat kalau dengan RM30,000 hingga RM40,000 dapat dalam sebulan masih banyak ‘bunyi’.

Sebab itu, kita tidak boleh melihat kepada ramahnya calon pilihan raya ketika turun padang, memasak, mencuci balai raya atau menziarah orang sakit. Apabila sudah menang, bayang pun tidak nampak. Drama dan auta ini, sepatutnya rakyat sudah terlalu faham. Bagaimanapun, tidak semua begitu. Ada

Yang Berhormat turun padang dan rakyatnya sentiasa mencarinya untuk mengadu masalah. Ada YB yang rakyatnya dilihat begitu selesa bercakap dan mengadu dengannya. Tiada protokol dan disenangi oleh penduduk di kawasannya.

Ini adalah cabaran kepada kerajaan Madani dan juga parti pembangkang dalam memastikan setiap wakil rakyatnya berfungsi dan mendapat kepercayaan ramai.

Tak usahlah bising-bising pasal gaji. Rakyat masih dibelenggu kenaikan kos sara hidup, dengan gaji minimum RM1,700 yang masih tidak dipatuhi oleh majikan dan gaji tidak setimpal dengan kelayakan akademik, itu yang harus diperjuangkan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya