SEJAK berlakunya gerakan Renaissance (abad ke 14-17) dan Enlightenment (abad ke-18) di Barat, masyarakatnya mula menolak agama dan hanya menganggapnya sebagai persoalan atau urusan peribadi. Agama dianggap mereka tidak ada kena mengena dengan sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Falsafah dan doktrin kehidupan mereka berubah dari kehidupan beragama (Kristian) kepada kehidupan yang hanya berpusat kepada dunia semata-mata dan akal manusia adalah penentu segala-galanya. Petunjuk agama diketepikan, malah ada ahli falsafah Barat seperti Friedrich Nietzsche menganggap ‘Tuhan telah mati’. Pemikiran sekular ini tidak lagi menjadikan Tuhan sebagai pemusatan kehidupan, sebaliknya pemusatan kehidupan beralih kepada manusia itu sendiri dengan menganggap bahawa manusialah penentu segalanya.
Idea mengenai human centric ini dikenali sebagai humanisme, iaitu satu konsep yang meletakkan manusia adalah ‘kayu ukur’ bagi segalanya. Dari bingkai humanisme inilah bangkitnya perjuangan mengenai hak-hak asasi manusia acuan Barat yang menjurus kepada pemisahan dari peraturan dan kehendak agama. Oleh kerana pemusatan kepada kehidupan dunia, akal dan human centric yang keterlaluan, maka hak asasi versi Barat itu turut menekankan konsep individualisme yang membawa slogan one man-one value. Hak individu adalah mengatasi hak komuniti.
Individualisme menetapkan setiap individu diberikan kebebasan untuk melakukan aktiviti-aktiviti tanpa sebarang sekatan asalkan ia tidak mengganggu masyarakat. Kebebasan itu pula mesti diberi dan dilindungi oleh undang- undang. Justeru, nilai-nilai moral di Barat adalah bersifat pragmatik sehingga aktiviti-aktiviti songsang yang bercanggah dengan fitrah manusia ciptaan Tuhan seperti budaya seks bebas (bersekedudukan dan zina), budaya lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) bukan lagi kesalahan dalam kebanyakan negara Barat.
Oleh kerana Barat menganggap tamadun Greek Yunani sebagai landasan dan akar tamadunnya, maka idea mengenai hak asasi versi Barat ini juga dikatakan berasal daripada tamadun Greek. Tokoh-tokoh falsafah Greek seperti Aristotle dan Plato adalah dianggap pelopor kepada hak-hak kebebasan, kesamarataan dan hak untuk mendapat keadilan.
Pada abad ke-17 dan ke-18 pula tokoh-tokoh Barat dari Perancis dan Inggeris seperti Thomas Hobbes, John Lock dan Rousseau memperjuangkan kembali idea-idea kebebasan itu selari dengan perkembangan sosiopolitik yang berlaku di Barat ketika itu. Idea mengenai hak asasi itu disesuaikan dengan cabang-cabang fahaman sekularisme yang lain seperti individualisme, pragmatisme dan sebagainya.
Dalam kalangan negara-negara moden Barat, Amerika Syarikat (AS) telah dianggap sebagai pelopor kepada hak asasi manusia. Deklarasi Kemerdekaan Amerika 1776 dianggap sebagai dokumen penting yang mengaitkan AS sebagai penegak hak asasi dan demokrasi. Deklarasi itu telah dirangka oleh Thomas Jefferson berasaskan idea-idea yang terkandung dalam falsafah John Locke yang menekankan tiga aspek utama iaitu ‘kehidupan, kebebasan dan hak asasi’, hanya mengubah sedikit idea itu kepada ‘kehidupan, kebebasan dan pencarian kebahagian’.
Deklarasi bersejarah itu dianggap sebagai pernyataan kemerdekaan AS dan menjadi landasan kepada negara Uncle Sam itu untuk melestarikan demokrasi dan hak asasi manusia. Usaha menegakkan doktrin hak asasi ini menjadi lebih kukuh lagi apabila pada 1918, Presiden AS, Woodrow Wilson dalam ucapannya menegaskan bahawa penegakan demokrasi dan hak asasi manusia menjadi agenda penting buat AS yang mesti disebarkan ke seluruh pelusuk dunia. Justeru, ketika Barat menguasai pentas PBB, konsep hak asasi versi Barat itu telah disejagatkan dalam bentuk dokumen universal, iaitu Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (DUHAM) pada 1948. Yang jelas, AS telah dianggap sebagai pejuang demokrasi dan hak asasi yang unggul dan ia terus diperkukuh melalui Doktrin Carter 1980.
Doktrin terbabit telah membuka ruang kepada negara itu untuk memperjuang dan menegakkan hak asasi dalam dasar luarnya. AS menjadikan doktrin tersebut sebagai senjata untuk mengugut dan mengenakan tekanan srta sekatan diplomatik (politik), ekonomi dan ketenteraan ke atas negara-negara yang dianggap mencabul hak asasi.
Di satu segi, AS sebenarnya tidak jujur dalam hak asasi yang diperjuangnya itu. Banyak persoalan timbul berkaitan pelaksanaan prinsip-prinsip hak asasi dalam dasar luar AS sehingga laungan hak asasi manusia dan demokrasi itu hanya bersifat retorik semata-mata. Apa tidaknya, dalam kebanyakan kes pencerobohan AS dan sekutunya ke atas negara lain yang dicerobohi seperti Iraq dan Afghanistan negara itu telah melakukan banyak pelanggaran prinsip-prinsip hak asasi.
Demikian juga dukungan dan perlindungannya terhadap negara haram Zionis Israel membuktikan AS dan sekutunya tidak mempedulikan sama sekali prinsip-prinsip hak asasi yang mereka perjuangkan itu. Dunia tidak akan lupa bahawa dalam kes pencerobohan Serbia ke atas Bosnia, AS hanya bersuara ketika hampir seluruh umat Islam Bosnia dimusnahkan oleh tentera Serbia dalam misi ethnic cleansing mereka. Dalam kes Palestin pula, AS sejak pencerobohan Zionis Israel sehingga kini menjadi pelindung tegar Israel, malah menjadi penyumbang besar kepada bantuan ketenteraan Israel untuk membantai penduduk Palestin.
AS sentiasa mendiamkan diri setiap kali Israel melanggar hak asasi rakyat Palestin, malah merestui tindakan genosid tentera zionis Israel yang menjadi anak emasnya. Selain itu, AS turut menampakkan wajar sebenarnya dalam mencampuri urusan politik di beberapa negara Asia Barat yang bergolak. Sikap hipokrit atau talam dua muka dalam soal demokrasi sangat nyata.
Di Palestin, ketika Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada Januari 2006, Israel dan AS cuba menyingkirkan Hamas melalui pelbagai usaha termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Perjanjian Mekah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran juga tidak disenangi mereka. Usaha jahat AS dan Zionis akhirnya mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah di Gaza pada Jun 2007.
Hak asasi manusia versi Barat hanya berasaskan kepada kehendak akal dan nafsu semata-mata. Kebanyakan nilai-nilai hak asasi yang diperjuangkan Barat itu tidak secocok dengan nilai-nilai hak asasi yang terdapat di negara-negara Timur yang masih kuat berpegang kepada agama dan nilai-nilai falsafah Timur seperti falsafah Lao Zi, Kung Fu Tze, Chen-Tzu, Sri Vedanta Desika, Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.