SISTEM Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bukan perkara baru dalam pengoperasian sistem kutipan tol, di peringkat global ia dikenali sebagai Electronic Toll Collection (ETC).
Menerusi sistem itu pengguna lebuhraya tidak perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan untuk membayar tol menggunakan kad, malah plaza tol juga tidak diperlukan.
Pada tahun 1959 lagi sistem seumpama MLFF dicipta. Ketika itu menggunakan transponder. William Vickrey (Pemenang Anugerah Nobel Ekonomi dari Kanada) mencadangkan transponder di setiap kenderaan bagi mencatatkan laluan perjalanan dan kos yang perlu dibayar bila melintas sesuatu garisan.
Beberapa modifikasi dan inovasi dilakukan, pada tahun 1975 akhirnya Singapura menjadi negara pertama di dunia menggunakan ETC yang dikenali sebagai Singapore Area Licensing Scheme. Kemudiannya pada tahun 1998, ia dikenali sebagai Electronic Road Pricing System (ERP).
Satu kajian mengenai kesesakan jalan raya di Singapura yang dilakukan oleh Sock-Yong Phang dari Singapore Management University dan Rex S.Toh dari Seattle University menyatakan penurunan kadar kesesakan sejumlah 76.2 peratus bila sistem ERP dilaksanakan di negara berkenaan.
Kajian itu meneliti sejak pelaksanaan awal Singapore Area Licensing Scheme pada tahun 1975 sehinggalah ERP tahun 1998 hingga 2003. Menurut saranan dan syor kajian bertajuk ‘Road Congestion Pricing in Singapore: 1975-2003’ itu, ERP adalah penyelesaian terbaik untuk masalah kesesakan lalu lintas di Singapura.
Sistem kutipan tol yang dibuat menerusi ERP adalah lebih efisien kerana mampu kendalikan lokasi, masa dan kenderaan yang berbeza dengan hanya satu penyelesaian.
Di Indonesia, pemerintahnya mahu menggunakan MLFF bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.
Menurut kajian yang dilakukan di Pintu Tol Cikupa, Tangerang, Banten kesesakan yang berlaku menyebabkan kerugian sejumlah 4.4 trilion rupiah. Indonesia mahu melihat sistem tol yang dilaksanakan di Taiwan sebagai contoh dan bekerjasama dengan Kerajaan Hungary dalam membangunkan MLFF.
Taiwan menggunakan sistem MLFF yang dikenali sebagai Taiwan MLFF ETC yang dikendalikan oleh Far Eastern Electronic Toll Collection (FETC) sejak 2014. Kadar kejayaan sistem ETC adalah hampir 100 peratus. Kadar kutipan tol adalah 99.99 peratus dan sementara pengesanan kenderaan adalah 99.98 peratus.
Matlamat utama MLFF di Taiwan adalah untuk meningkat kadar efisiensi dalam pengurusan tol. Ia terhasil bila sejumlah 120 juta liter petrol dapat dijimatkan, sejumlah 290,000 tan metrik pengurangan pembebasan karbon dan kadar kesesakan dapat dikurangkan 60 peratus bila menggunakan sistem MLFF.
Pada 6 Oktober 2022, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menerajui Kementerian Kerja Raya menyatakan Malaysia akan melaksanakan MLFF pada tahun 2025 (tahun ini) berdasarkan inisiatif Malaysian ITS Blueprint (2019-2023) dan melihat kejayaan negara jiran Singapura sebagai model.
Dengan menggunakan gantry system, pengguna jalan raya tidak perlu lagi bersesak di plaza tol memperlahankan kenderaan, atau menghadapi masalah teknikal RFID dan terpaksa menukar laluan plaza tol.
Sistem gantri itu dilengkapi dengan automated number plate recognition (ANPR) system bagi menjadikan kaedah pembayaran tol lebih efisien.
Jika mengikut laporan tahunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada tahun 2022, banyak perkara melibatkan rundingan, perbincangan bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan kementerian itu, pasukan petugas khas, kertas kerja dan perunding sudah mencapai tahap indeks petunjuk prestasi (KPI) 100 peratus.
Itu menunjukkan proses untuk perlaksanaan MLFF sudah dibuat mengikut prosedur dan tatacara yang digariskan oleh peraturan sedia ada, ia bukannya secara terburu-buru sebagaimana andaian sesetengah pihak.
Ramai pengguna lebuhraya yang pernah alami sendiri betapa sesaknya Plaza Tol Juru, Pulau Pinang, Sungai Besi, Jalan Duta, Gombak pada hari bekerja, lebih teruk bila musim perayaan. Plaza Tol MEX pun sudah alami kesesakan, mengapa?
Kesesakan berlaku disebabkan cara pembayaran tol oleh pengguna yang tidak efisien. Ramai memperlahankan kenderaan untuk bayar guna Touch N Go, kad Smart Tag gagal diimbas, tidak cukup baki atau ada hadapi masalah teknikal RFID, ia antara punca kesesakan berlaku. Perkara ini adalah human error yang perlu digantikan dengan sistem yang lebih efisien.
Satu lagi perkara penting mengapa MLFF perlu disegerakan adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di plaza tol.
Dalam Kertas ‘Malaysian ITS Blueprint 2019-2023’ dinyatakan dalam mukasurat 29, “infrastruktur yang bersesuaian akan membantu untuk mengurangkan kesesakan trafik dan pengurangan kemalangan yang seterusnya akan membolehkan trafik berjalan lancar”. Salah satu cadangan untuk melancarkan trafik dalam kertas blueprint itu adalah MLFF.
Sebelum Plaza Tol Jelapang ditutup sepenuhnya pada 2008, sejumlah 142 kemalangan direkodkan. Lapan orang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam tempoh 1998 hingga 2008.
Menurut kajian Jabatan Sivil, Alam Sekitar dan Pembangunan Kejuruteraan di Universiti Central Florida, sejumlah 44.7 hingga 72.6 peratus kadar kemalangan dapat dikurangkan di plaza tol bila pembayaran secara elektronik dilaksanakan.
Kaedah membayar di plaza tol kita sudah ketinggalan. Kita sudah melihat kejayaan negara-negara lain dalam menguruskan MLFF dan ia adalah penyelesaian yang lebih efisien dan terbukti memberi impak pengurangan kepada kesesakan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan.
Jangan berlengah, jika tidak negara lain akan lebih ke hadapan dan kos berkaitan akan lebih tinggi. Kerajaan MADANI perlu laksanakan MLFF secepat mungkin untuk penyelesaian total cara kutipan tol yang lebih efisien serta menyelamatkan lebih ramai lagi nyawa rakyat Malaysia di jalanraya.
Penulis, Muda Muhammad merupakan penganalisis teknologi dan komunikasi