Majlis AIDS Malaysia merasa kesal dengan kecenderungan beberapa agensi media tempatan yang telah mempalitkan Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV) dengan pertuduhan jenayah seksual yang dilakukan oleh seorang lelaki di bazar Ramadan di Temerloh, Pahang melalui tajuk artikel yang bersifat sensasi dan lebih berfungsi sebagai umpan atau “clickbait” untuk menarik perhatian pembaca.
Selain menyumbang kepada pembentukan stereotaip negatif, nada penulisan seperti ini mesti dijauhi kerana ia hanya akan menghakis empati masyarakat kepada komuniti PLHIV dan sekaligus memperlekehkan nilai-nilai kemanusian mereka. Label penjenayah yang dikaitkan dengan PLHIV juga dikhuatiri akan menyemai perasaan benci kepada anggota komuniti ini dan meluaskan lagi jurang pengasingan dengan masyarakat umum.
“Penerimaan terhadap PLHIV merupakan asas utama dalam membentuk sebuah masyarakat yang bebas daripada stigma dan diskriminasi berkaitan AIDS. Apabila kita menerima PLHIV dengan seadanya tanpa prejudis, kita dapat mengatasi stereotaip serta salah tanggapan yang sering dikaitkan dengan HIV.
“Ini seterusnya menggalakkan lebih ramai individu untuk tampil ke depan bagi mendapatkan ujian, rawatan, dan sokongan tanpa rasa takut dihakimi dan dihukum oleh masyarakat.. Dengan memupuk budaya penerimaan, kita bukan sahaja memperkasakan PLHIV untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna, tetapi juga menyumbang kepada usaha global untuk menghapuskan stigma, diskriminasi, dan akhirnya, epidemik HIV.” Komen Presiden Majlis AIDS Malaysia, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah bin Raja Azwa
“Justeru, Majlis AIDS Malaysia menyeru kepada para pengamal media tempatan untuk lebih bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara dalam penerbitan artikel atau liputan yang melibatkan PLHIV. Agensi-agensi media berada di posisi unik untuk menjadi pemacu kepada perubahan bermakna yang boleh mengubah masa depan PLHIV di negara ini.” Ujar beliau lagi.
Sokongan media amat penting kerana realitinya, PLHIV di negara ini masih lagi berdepan dengan pelbagai bentuk stigma dan diskriminasi yang telah memberi impak kepada kualiti kehidupan mereka.
Berdasarkan laporan Jabatan Advokasi Majlis AIDS Malaysia, pada tahun 2024 sahaja, lebih daripada 40 insiden diskriminasi telah direkodkan di tempat kerja, institusi pendidikan bahkan di fasiliti kesihatan. Jumlah ini hanya mewakili cebisan kecil daripada banyak lagi kes-kes yang tidak dilaporkan kerana ramai anggota komuniti PLHIV merasa takut untuk tampil ke hadapan di sebalik penindasan dan penganiayaan yang mereka alami. Selain itu, masih wujud pelbagai kekangan polisi dan amalan-amalan di pelbagai institusi kerajaan dan swasta yang secara langsung atau tidak langsung masih mendiskriminasikan PLHIV.
Kami ingin menjemput semua editor-editor agensi media cetak dan elektronik di negara ini untuk menyertai Bengkel Pemerkasaan Media HIV/AIDS yang bakal kami anjurkan dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Sime Darby pada bulan Jun nanti. Editor-editor yang berminat untuk menghadiri bengkel ini boleh berhubung dengan kami melalui emel [email protected] atau berhubung dengan pegawai kami, Azahemy di talian 016 646 5874 / Zahra di talian 010 292 5162.
Jabatan Media Majlis AIDS Malaysia