Sepanjang zaman, tesis utama yang digunakan untuk menjawab kepada persoalan mengapa bumiputera dan khususnya orang Melayu sentiasa ketinggalan dalam penguasaan ekonomi dan pendidikan adalah faktor sikap dan minda bangsa Melayu itu sendiri.
Seringkali penelitian tentang isu kemunduran bangsa Melayu dikaitkan dengan sikap yang mudah selesa dengan apa yang ada. Malah ada pandangan yang lebih ekstrem mengaitkan bangsa Melayu dengan sikap malas, bangsa yang tidak mempunyai budaya kerja yang kuat dan ketekunan belajar yang tinggi.
Penulis tidak bersetuju dengan pandangan ekstrem begini. Tentulah pandangan sebegitu tidak mewakili keseluruhan sikap orang Melayu kerana terbukti ada ramai dalam kalangan Melayutelah pun berjaya dalam sektor ekonomi dan cemerlang dalam pendidikan.
Tetapi secara umumnya, kita juga tidak dapat menolak data-data rasmi yang membuktikan terdapat sebahagian besar orang Melayu yang masih jauh ketinggalan dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di negara ini. Jika dibandingkan jenis pekerjaan berkemahiran tinggi seperti doktor, jurutera, peguam, akauntan atau ahli farmasi jelas nisbah orang Melayu masih di belakang bangsa lain.
Bagi menguruskan sikap ‘kemunduran’ bangsa Melayu ini, pelbagai ikhtiar, inisiatif, bantuan, dan gagasan dilakukan. Malangnya, kita tidak boleh nafikan kemajuan bangsa Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Kita mungkin tidak suka dengan kenyataan ini tetapi itulah realiti berdasarkan data-data rasmi yang ada.
Sejak puluhan tahun lalu, golongan bijak pandai dalam kalangan Melayu sudah pun sedar akan masalah bangsa Melayu yang ketinggalan dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Bagi menguruskan masalah ini, sejak awal abad ke-20 lagi, para ulama Melayu memainkan peranan untuk menyedarkan orang Melayu tentang sikap mereka.
Banyak saranan dan peringatan diberikan oleh para ilmuwan melalui penerbitan berbagai surat khabar dan majalah yang cuba menggerakkan reformasi minda orang Melayu. Misalnya, antara majalah terpenting al-Imam yang mula diterbitkan pada 1906 di Singapura.
Pengasas majalah al-Imam, Syed Mohamad Salim al-Khalali pernah menjelaskan tujuan al Imam diterbitkan adalah untuk membangunkan bangsa Melayu dari lena dan kemalasan.
Tokoh lain yang aktif menulis tentang sikap orang Melayu di dalam majalah al Imam ialah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Mohamad Aqil dan Sheikh Abbas Taha. Ramai pengkaji bersetuju majalah al-Imam adalah antara risalah terawal yang cuba membawa agenda pembaharuan kepada pemikiran rakyat Melayu.
Di era sebelum merdeka, kita berpeluang membaca tulisan kritikan Pendeta Za’ba tentang sikap ‘kemalasan’ bangsa Melayu. Antara tulisan beliau yang secara terbuka mengkritik sikap dan minda orang Melayu adalah buku berjudul Asohan Budi dan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.
Pada Pendeta Za’ba, masalah kemunduran orang Melayu sangat terkait dengan sikap dan perangai dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Za’ba juga berpandangan orang Melayu ‘miskin cita-cita’ untuk maju dan paling dibimbangi ‘miskin agama’ yang disifatkannya bahawa orang Melayu semakin jauh daripada ajaran Islam kerana kepercayaan tradisional dan khurafat. Pendeta Za’ba melihat situasi kemiskinan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada beberapa faktor.
Pertama, pada pandangan Za’ba, sebahagian besar orang Melayu masih tiada iltizam untuk maju kerana negara ini subur menyebabkan sumber makanan senang didapati, jadi orang Melayu tidak perlu bersusah-payah mencarinya.
Kedua, faktor orang Melayu yang masih mengharapkan bantuan orang lain khususnya kerajaan dan tidak seperti bangsa lain berusaha atas kebolehan sendiri. Ketiga, sikap golongan muda yang tidak belajar bersungguh-sungguh untuk memajukan pengetahuan mereka, dan yang kelima, masih kuat dengan kepercayaan tahyul seperti hantu dan mistik.
Di era 1980-an, kita berpeluang pula membaca tulisan mengkritik sikap orang Melayu dari pemikir besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Dr. Syed Hussein Al Attas. Mereka aktif menulis tentang kemunduran Melayu di dalam penguasaan ekonomi dan pendidikan. Kita juga tentunya pernah mendengar tentang pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam bukunya Dilema Melayu yang begitu keras mengkritik sikap malas orang Melayu di era 1970-an.
Persoalannya mengapakah walaupun sebegitu lama menyedari tentang sikap bangsanya, sehingga ke hari ini sebahagian besar orang Melayu masih juga ketinggalan dalam pendidikan dan ekonomi? Data-data pendidikan misalnya mengesahkan rata-rata pencapaian kanak-kanak Melayu bumiputera masih lemah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Data PISA 2022 menunjukkan pencapaian murid luar bandar (rata-ratanya dari keluarga Melayu bumiputera) masih rendah berbanding pencapaian matematik dan sains murid-murid yang bersekolah di bandar besar. Isu ponteng sekolah, keciciran pembelajaran juga masih terbelenggu dalam kalangan murid-murid bumiputera.
Kita juga dapati daripada laporan Perangkaan Malaysia pendapatan dalam kalangan Melayu bumiputera terendah berbanding kumpulan etnik Cina dan India. Misalnya, data perangkaan 2022 menunjukkan pendapatan penengah bumiputera RM5,248 berbanding pendapatan penengah etnik Cina yang mencecah RM7,391. Begitu juga dengan penguasaan ekuiti bumiputera hanya sekitar 18 peratus pada 2020, masih jauh di bawah sasaran 30 peratus ekuiti yang dihasratkan di dalam Dasar Ekonomi Baru.
Kajian terkini berkaitan pencapaian ekonomi dan pendidikan bumiputera yang dijalankan oleh Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) juga membuktikan kemunduran Melayu bumiputera dalam sektor ekonomi dan pendidikan sangat dipengaruhi oleh sikap orang Melayu itu sendiri.
Kajian yang dijalankan kepada lebih 8,000 responden berbangsa Melayu, seterusnya diikuti 15 sesi libat urus dan temu bual dengan lebih 500 bumiputera Melayu di seluruh negara mengukuhkan lagi tesis kemunduran Melayu adalah kerana sikap sendiri.
Bayangkan, sudah lebih 120 tahun sejak majalah al-Imam diterbitkan pada 1906, permasalahan kemunduran bangsa Melayu kekal dipengaruhi oleh sikap Melayu itu sendiri. Selama tempoh itu, faktor sikap dan perangai terus menjadi sebab utama kemunduran.
Moralnya, jika pihak kerajaan beriltizam mahu memajukan bangsa Melayu bumiputera, pertamanya lakukan dahulu reformasi sikap dan minda orang Melayu supaya mereka lebih bersedia menerima perubahan untuk maju ke hadapan.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)